Dadah: Mahkamah Persekutuan Kekalkan Sabitan, Hukuman Mati Lelaki Nigeria

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang lelaki warga Nigeria kerana kesalahan mengedar 630.4 gram heroin dua tahun lepas.

Panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara menolak rayuan Jowy Manjoro terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapatinya bersalah dan menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah di sebuah bilik di Hotel Regent, Kuala Lumpur pada 2.42 malam, 17 Mac 2000.

Turut bersidang bersama-sama Hakim Md Raus ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Manjoro turut tidak berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Menurut fakta kes, agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bekerjasama untuk menahan Manjoro yang dipercayai anggota sindiket dadah antarabangsa.

Agensi itu telah menggunakan perkhidmatan ejen pengintipan Tunde Taju yang telah mengadakan beberapa urusan dengan Manjoro.

Satu perjumpaan diadakan di lokasi dirahsiakan di Indonesia untuk Manjoro menyerahkan dadah itu tetapi telah dibatalkan dan penghantarannya ditukar ke Kuala Lumpur.

Larry Waynes Sproat, yang mengetuai operasi agensi itu di Kuala Lumpur melantik Tunde untuk berunding dengan Manjoro di sebuah bilik hotel.

Rundingan itu dirakamkan dalam bentuk video dan audio dan telah diterima sebagai bahan bukti di Mahkamah Tinggi.

Polis Malaysia menahan Manjoro apabila dia selesai melakukan transaksi penyerahan dadah itu dan menerima wang daripada Tunde.

Apabila Manjoro diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membela diri dan menjelaskan tiga pilihan yang ada untuk dia membela diri - memberikan keterangan secara bersumpah, memberikan keterangan dari dalam kandang tertuduh atau berdiam diri, dia (Manjoro) berkata: "Saya tidak mempunyai apa-apa untuk dikatakan di mahkamah ini".

Dia diwakili peguam Hanif Hassan, yang dilantik oleh mahkamah, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan