Orang Asli Endau-Rompin Dibenar Duduki Tanah Adat Sehingga Selesai Rayuan

Diterbitkan: Rabu, 15 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sekumpulan 118 penduduk suku kaum Jakun dari Kampung Orang Asli Peta di Taman Negara Endau-Rompin, yang diperintah mengosongkan Tanah Adat mereka, dibenarkan tinggal di kawasan itu sehingga Mahkamah Rayuan memutuskan kes tersebut.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menggantung perintah Pentadbir Tanah Daerah Mersing pada 17 Jan lepas, yang meminta Orang Asli terbabit mengosongkan tanah mereka.

Panel terdiri daripada Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas kedua-dua pihak bersetuju menggantung perintah tersebut.

Responden dalam kes ini ialah Pentadbir Tanah Daerah Mersing, Johor; Pengarah Tanah dan Galian Negeri dan Perbadanan Taman Negara; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli; Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Malaysia.

Kumpulan Orang Asli itu mengemukakan rayuan selepas Mahkamah Tinggi Johor Baharu menolak semakan kehakiman mereka bagi mengetepikan notis pengusiran yang dikeluarkan Pentadbir Tanah Daerah Mersing.

Mereka diwakili peguam Steven Thiru, S.Yogeswaran, M.Rajkumar dan Darmain Segaran manakala responden oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Johor Sharizal Shaari serta Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid.

Pemohon dalam kes ini ialah Ketua Kampung Peta iaitu Sangka Chuka, 59, dan seorang penduduk, Nasir Kantan, 34.

Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan notis pengusiran itu sebagai tidak sah dan batal serta responden tidak berhak untuk mengurang, mengehad atau menghapuskan hak mereka terhadap Tanah Adat tersebut tanpa membayar pampasan sewajarnya.

Pada 22 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakiman serta permohonan mereka untuk menggantung perintah itu.

Kampung mereka terletak dalam kawasan yang diwartakan sebagai kawasan Orang Asli dikenali sebagai Ulu Endau, Endau di Johor, melibatkan keluasan kira-kira 547 ekar di daerah Mersing, dan didiami 28 keluarga. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan