Lelaki Warga Emas Dipenjara 30 Bulan Kerana Miliki Dadah

Diterbitkan: Selasa, 14 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga emas hanya perlu menjalani hukuman penjara 30 bulan kerana kesalahan memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines seberat 1.22 gram selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa meminda pelaksanaan hukuman daripada berjalan secara berasingan kepada serentak.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan perkara itu selepas membenarkan rayuan tertuduh, Jalil Jidin, 62, terhadap hukuman penjara 40 bulan yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Majistret Kuala Selangor sebelum ini.

Tertuduh sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 30 bulan atas tuduhan memiliki heroin dan penjara 10 bulan atas tuduhan memiliki monoacetylmorphines selepas mengaku bersalah melakukan kedua-dua kesalahan itu.

Hukuman penjara bagi kedua-dua kesalahan itu diperintahkan berjalan secara berasingan berkuat kuasa daripada tarikh dia ditangkap pada 25 Januari lepas.

Bagaimanapun, pada prosiding hari ini, Hakim Ahmadi memutuskan hukuman penjara ke atas tertuduh dijalankan secara serentak.

Jalil didakwa memiliki heroin seberat 1.03 gram dan monoacetylmorphines seberat 0.19 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tok Adam, Bagan Pasir, Tanjong Karang, pada pukul 4 petang, 25 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000.

Mengikut fakta kes, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor membuat serbuan ke sebuah rumah dan hasil pemeriksaan menemui, 15 paket lutsinar dan 36 tiub straw berisi heroin di lantai ruang tamu rumah itu.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan