Empat Anggota Sindiket Curi Kereta Dipenjara Sembilan Tahun

Diterbitkan: Khamis, 9 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Empat anggota sindiket curi kereta 'Black Water' masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis selepas mengaku bersalah terhadap 196 pertuduhan menerima dan menolong menyembunyikan 98 kereta curi pada Jun tahun lepas.

Hakim, Siti Noraida Sulaiman memerintahkan keempat-empat lelaki itu, Sim Cee Wei, 29, Lau Kuan Zui, 40, Wong Ooi Kay, 35, dan Tan Ching Swee, 41, menjalani hukuman berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 30 Jun tahun lepas.

Sim, Lau, Wong dan Tan didakwa atas 95 pertuduhan menerima kereta curi di No 1, Lot 8638, Kampung Black Water Off Jalan Banting-Klang di sini, pada 5 petang, 29 Jun tahun lepas.

Mereka juga didakwa melakukan tiga kesalahan sama di Lorong Batu Nilam 21B, Bandar Bukit Tinggi di sini, pada 6 petang tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Mereka juga didakwa atas 95 pertuduhan menolong menyembunyikan kereta curi itu di Kampung Black Water, dan tiga lagi pertuduhan sama di Lorong Batu Nilam Bandar Bukit Tinggi, pada waktu dan tarikh yang sama.

Kesemua tertuduh yang berada dalam reman kerana gagal membayar wang jaminan RM1.9 juta setiap seorang, didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun dan denda.

Kereta curi berkenaan terdiri daripada 59 Honda City, sebuah Honda Accord, tujuh Honda CRV, dua Honda Civic, 22 Toyota Hilux, enam Toyota Rush dan sebuah Toyota Fortuner.

Mengikut fakta kes, pada 4.30 petang, 29 Jun tahun lepas, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menjalankan 'Ops Lejang' dan menahan tiga tertuduh yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga serta seorang tertuduh yang menunggang motosikal di Jalan Batu 6 1/2 Kampung Black Water.

Keempat-empat tertuduh kemudian telah memandu arah pasukan polis ke sebuah gudang di No 1, Lot 8638, Kampung Black Water dan pemeriksaan seterusnya menjumpai 71 kenderaan yang dilaporkan hilang.

Selain itu, turut dijumpai lima kontena berisi 24 kenderaan yang dilaporkan hilang dalam kawasan gudang berkenaan.

Pada hari sama, Tan memandu arah pasukan polis ke Lorong Batu Nilam 21B, Bandar Bukit Tinggi, di mana mereka menjumpai tiga kenderaan yang juga dilaporkan hilang.

Siasatan mendapati Tan adalah pekerja di gudang itu dan keempat-empat tertuduh berperanan membawa balik kereta yang dicuri ke gudang untuk dimuat masuk ke dalam kontena yang telah disediakan sebelum diseludup ke luar negara.

Terdahulu, peguam James George yang mewakili keempat-empat lelaki itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan serta berjalan secara serentak dengan mengambil kira bahawa kesalahan mereka tidak melibatkan sebarang keganasan.

"Sim tidak berkahwin dan menanggung ibu bapa serta adik beradiknya, Lau mempunyai dua anak dan berkelulusan sekolah rendah, Wong juga berkelulusan sekolah rendah dan menanggung ibu yang menghidap kencing manis serta darah tinggi sementara Tan yang turut berkelulusan sekolah rendah perlu menanggung empat orang anak yang masih bersekolah," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azilah Mat yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan keempat-empat tertuduh merupakan anggota sindiket mencuri kereta dan perbuatan mereka menyebabkan ramai yang menjadi mangsa.

Beliau berkata, kesalahan kesemua tertuduh juga sangat serius serta melibatkan kepentingan awam dan sehubungan itu hukuman yang dijatuhkan perlu memberi pengajaran dan kesedaran kepada tertuduh serta masyarakat secara umumnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan polis dengan kerjasama pihak Kastam berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 98 kenderaan curi bernilai RM8 juta ke Kepulauan Cyprus selepas menahan empat anggota sindiket curi kereta dalam serbuan 'Ops Lejang' terbesar di sebuah gudang di Kampung Black Water.

Gudang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama berkenaan disewa oleh sindiket dikenali sebagai 'Black Water' itu yang sebelum ini dikesan menyeludup 456 kereta bernilai RM49 juta yang dicuri di negara ini sejak 2010 ke Hong Kong, Thailand dan Dubai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dilaporkan berkata, modus operandi anggota sindiket berkenaan adalah mendapatkan kenderaan curi daripada orang tengah dan mengumpulkan kenderaan itu dalam gudang sebelum diseludup ke luar negara. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan