Tiga Lelaki Didenda RM700 Kerana Tampal Poster Guan Eng Dan Ambiga

Diterbitkan: Selasa, 7 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki pada Isnin didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menampal poster mengandungi gambar dan perkataan berunsur penghinaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan bekas presiden Majlis Peguam Datuk S.Ambiga.

Majistret Zulkpli Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Nizam Ali, Hamzah Mahmood dan Shahir Saarani selepas mereka menukar pengakuan bersalah, Isnin.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh itu dipenjara 14 hari sekiranya mereka gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun dua lagi, Mohd Norizam Che Othman, 31, dan Mohd Jamil Jamaluddin, 36, yang dituduh di mahkamah dengan ketiga- tiga lelaki itu pada 26 Mac lepas, mengekalkan pengakuan asal mereka kepada mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.

Muhammad Nizam, 24, kerani di sebuah hospital swasta, Hamzah Mahmood, 32, pemandu kenderaan di sebuah syarikat perunding, Shahir Saarani, 30, juruteknik, Mohd Norizam, 31, dan Mohd Jamil, 36, kedua-duanya peniaga, didakwa bersama lima lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu dengan menampal poster di tempat awam, mengandungi gambar dan perkataan seperti 'Lim Guan Eng Racist', 'Lim Guan Eng Anti Melayu' dan 'Undi Ambiga Undi Seks Bebas' di Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 3.40 pagi 4 Februari lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(2)(a) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa raya Haderiah Siri memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada ketiga-tiga tertuduh kerana ia melibatkan faktor kepentingan awam dan berunsur politik serta menjejaskan keharmonian dan keamanan negara.

Peguam Rezal Mazli Abdul Muin yang mewakili kesemua tertuduh, memohon hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah bagi ketiga-tiga anak guamnya.

Mahkamah turut mengekalkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin bagi Mohd Norizam dan Mohd Jamil dan menetapkan 4 September untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan