Orang Asli Akan Terima Pampasan, Jabatan Tanah & Galian Johor Tarik Balik Rayuan

Diterbitkan: Selasa, 7 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Johor akan membayar pampasan kepada Orang Asli daripada suku kaum Orang Selat berhubung pengusiran mereka dari tanah mereka di Stulang Laut dan perobohan gereja kecil mereka sembilan tahun lepas.

Ini berikutan penarikan balik rayuan oleh Jabatan Tanah dan Galian Johor yang diwakili penasihat undang-undang negeri Johor Datuk Abdul Rahman Putra Taha, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Baharu yang pada 2010, memberikan pampasan kepada 50 Orang Asli yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi memutuskan pengusiran Khalip Bachik, Kelah Lah dan 49 yang lain dari tanah mereka oleh pihak berkuasa adalah salah di sisi undang-undang dan perobohan gereja kecil mereka adalah satu pencerobohan.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin membatalkan rayuan itu dan memberikan kos RM5,000 kepada Orang Asli berkenaan.

Dua lagi anggota panel hakim itu ialah Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Aziah Ali.

Peguam yang mewakili mereka, Steven Thiru berkata berikutan penarikan balik rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi kekal.

Beliau berkata langkah seterusnya ialah kembali semula ke Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi untuk menentukan jumlah pampasan.

Khalip dan lainnya ialah Orang Asli Laut daripada suku kaum dan anggota jemaah Orang Asli Kristian. Mereka asalnya ialah penduduk Kampung Orang Asli Stulang Laut.

Mereka menerima arahan untuk pindah ke Kampung Orang Asli Kuala Masai daripada Majlis Bandaraya Johor Baharu pada 1993 atas alasan tapak yang mereka duduki bakal dibangunkan.

Khalip dan Kelah mendakwa Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) telah memberikan jaminan yang mereka boleh membina rumah ibadat di penempatan baharu, dan telah berbuat demikian sebaik dipindahkan pada 2003.

Pada 2005, 10 hari sebelum Krismas, perobohan gereja kecil itu dilakukan ketika masyarakat itu sibuk membuat persiapan untuk menyambut perayaan itu.

Dalam saman sivil mereka difailkan pada Disember 2008, Orang Asli berkenaan menamakan pengarah Jabatan Tanah dan Galian negeri, Majlis Bandaraya Johor Baharu dan JHEOA sebagai defendan.

Bagaimanapun, Majlis Bandaraya dan JHEOA memilih untuk tidak turut serta dalam prosiding di Mahkamah Tinggi.

Majlis Bandaraya Johor Baharu tidak memfailkan afidavit pembelaan disebalik peringatan dihantar kepada mereka, dan kemudiannya gagal hadir di mahkamah ketika tarikh perbicaraan ditetapkan.

Pada 22 September 2010, Mahkamah Tinggi Johor Baharu membuat keputusan yang memihak kepada Orang Asli dan mengarahkan pengarah Jabatan Tanah dan Galian negeri dan Majlis Bandaraya Johor Baharu membayar pampasan kepada Orang Asli berkenaan.

Pada 30 Julai tahun ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Majlis Bandaraya selepas membenarkan bantahan dikemukakan peguam yang mewakili Orang Asli berkenaan bahawa rayuan Majlis itu adalah tidak kukuh dan menyalahguna proses mahkamah.

Majlis itu mendakwa saman itu difailkan di bawah 'Johor Bahru Town Council' dan bukan 'Majlis Bandaran Johor Bahru', dengan itu ia tidak terikat dengan perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Johor Baharu.

Kira-kira 60 orang daripada masyarakat itu termasuk kanak-kanak hadir di mahkamah pada Selasa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan