Sarjan Polis Mengaku Tidak Bersalah Terima Suapan RM800

Diterbitkan: Selasa, 31 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini terhadap pertuduhan menerima suapan RM800 pada bulan lepas.

Sarjan Ismail Che Ngah, 45, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bera didakwa menerima suapan daripada Soo Kok Ping sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang telah memasukkan dadah ke dalam badannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 15728, Kilometer 1, Simpang Kerayong, Bera, pada 1.50 tengah hari, 7 Jun lalu.

Ismail didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau mana lebih tinggi.

Hakim, Fathiyah Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan tarikh perbicaraan pada 30 Ogos ini.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Ismail diwakili peguam Datuk Mohd Sharif Abu Samah manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Norazman Mohd Jaya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan