Pemilik Borders Gagal Tangguh Tindakan Jawi Rampas Buku Irshad Manji

Diterbitkan: Selasa, 31 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Berjaya Books Sdn Bhd, pemilik kedai buku Borders, dan dua petugasnya pada Selasa gagal mendapatkan perintah mahkamah untuk menangguhkan tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) merampas buku karangan Irshad Manji daripada sebuah cawangannya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusuf menolak permohonan Berjaya Books, pengurus besar operasi dan barangan Borders Stephen Fung Wye Keong, dan pengurus stor kedai buku Borders di The Gardens, Mid Valley City, Nik Raina Nik Abdul Aziz, untuk mendapatkan penangguhan itu.

Keputusan itu dibuat hakim berkenaan di dalam kamarnya.

Peguam Rosli Dahlan mewakili tiga pemohon terbabit, manakala peguam kanan persekutuan Nor Hisham Ismail bertindak bagi pihak tiga responden - Jawi, Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam.

Bercakap kepada pemberita, Rosli berkata hakim berkenaan juga menasihati pemohon supaya turut memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendapatkan perintah penangguhan itu.

Kata Rosli beliau akan ke Mahkamah Syariah untuk dan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan mengenai keputusan mahkamah hari ini berkaitan permohonan mendapatkan perintah penangguhan itu.

Pada 25 Jun, Berjaya Books dan dua petugasnya mendapat kebenaran untuk memohon Mahkamah Tinggi membuat semakan semula penghakiman bagi mencabar tindakan Jawi merampas buku berkenaan.

Dalam permohonan itu, tiga responden berkenaan memohon mendapatkan antara lain, satu perintah certiorari untuk mengenepikan keputusan para pegawai Jawi menyerbu, mencari dan merampas buku tulisan Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta' dan 'Allah, Liberty and Love' pada 23 Mei di kedai buku Borders di The Gardens Mall, Mid Valley City.

Mereka juga momohon perintah certiorari untuk mengenepikan keputusan mendakwa Nik Raina di Mahkamah Tinggi Syariah kerana mengedar buku berkenaan.

Nik Raina dihadapkan ke mahkamah pada 19 Jun atas tuduhan mengedar dan menjual buku itu, yang dikatakan bercanggah dengan undang-undang Islam di kedai buku terbabit antara pukul 8.41 malam dan 9.45 malam pada 23 Mei.

Sementara itu, dalam kes serupa, Hakim Rohana meluluskan permohonan untuk mendapatkan penangguhan sementara yang dikemukakan ZI Publication dan pengarahnya Mohd Ezra Mohd Zaid bagi menghalang Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) daripada menyiasat dan mendakwa Mohd Ezra berhubung rampasan 180 naskhah buku karangan Irshad Manji yang diterjemahkan ke bahasa Malaysia bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta'.

Peguam Nizam Bashir yang mewakili ZI Publication dan Mohd Ezra memberitahu pemberita bahawa dengan keputusan itu, Mahkamah Syariah tidak boleh mendakwa Mohd Ezra, yang diminta hadir di Mahkamah Rendah Syariah, sehinggalah keputusan sebelah pihak dikeluarkan.

Katanya hakim berkenaan juga meluluskan permohonan mendapatkan semakan penghakiman yang dikemukakan dua pihak tersebut dan memutuskan bahawa dua permohonan untuk mendapatkan semakan semula kehakiman yang difailkan Berjaya Books dan ZI Publication didengar secara bersama pada 5 September.

Pada 9 Julai, dua pemohon itu mengemukakan permohonan tersebut dengan menamakan Jais, pengarahnya, ketua cawangan penguatkuasaan Jais, ketua pendakwa syarie Selangor, Kerajaan Selangor dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mereka antara lain memohon mendapatkan perintah certiorari untuk mengenepikan tindakan para pegawai Jais menyerbu dan merampas 180 naskhah buku pada 29 Mei di kedai ZI Publications di B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor.

Mereka juga mohon mendapatkan perintah certiorari untuk mengenepikan tangkapan dan pendakwaan Jais terhadap Mohd Ezra pada 29 Mei.

Di samping itu, mereka memohon mendapatkan perisytiharan bahawa Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan siasatan yang dibuat terhadap Mohd Ezra adalah tidak sah dan terbatal kerana ia tidak selaras dengan Perkara 10(1)(a) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan