Ahli Perniagaan Bergelar Datuk Didakwa Menipu

Diterbitkan: Selasa, 31 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan barangan lusuh dan makanan halal pada Selasa mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan lain membabitkan cek berjumlah RM2.5 juta.

Di Mahkamah Sesyen lima, Datuk Syed Ahamed Malik Syed Hamid , 59, didakwa memperdaya Datuk Seri Lee Wan Beng, 62, untuk mempercayainya sebagai wakil Syarikat Minat Jasa Sdn Bhd yang menawarkan kontrak penjualan barang-barang lusuh dan berjadual kepunyaan Keretapi Tanah Melayu Bhd di Bengkel Sentul, Depoh Pelabuhan Klang, Depoh KL Sentral dan Depoh Falim.

Kontrak itu adalah untuk tempoh pengambilan selama dua tahun yang tertuduh tahu bahawa kontrak itu tidak wujud, dan dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan cek bernilai RM500,000 yang kemudian ditunaikan ke dalam akaun Tetuan Ahmad Rosdi & Co.

Syed Ahamed Malik didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel PJ Hilton, No.2 Jalan Barat, di sini, pada 1 April 2011. Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suraiya Mustafa Kamal.

Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun mewakili pihak pendakwaan.

Di Mahkamah Sesyen Satu pula, Syed Ahamed Malik didakwa menipu Lee dengan memperdaya hingga mendorongnya menyerahkan cek bernilai RM2 juta dan cek itu juga ditunaikan ke dalam akaun Tetuan Ahmad Rosdi & Co.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ahmad Rosdi Anco B4-11 PJ Industrial Park Seksyen 13, Jalan Kemajuan, di sini, pada 14 September 2011.

Syed Ahamed Malik didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Choong Kak Sen menawarkan Syed Ahamed Malik diikat jamin RM2.5 juta bagi kedua-dua pertuduhan itu berikutan jumlah kerugian yang besar dan kesalahan itu adalah amat serius.

Peguam Syahrul Syazwan Salehin memohon mahkamah supaya jumlah jaminan itu dikurangkan selain memohon bayaran jaminan dibuat dalam bentuk cagaran geran rumah.

Choong membantah berikutan keraguan ketulenan geran dan harga rumah tersebut.

Hakim Haiyatul Akmal Abdul Aziz kemudian menetapkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu dan menetapkan 3 September untuk tarikh sebutan. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan