Pendakwaan Mohon Peguam Wakili Shamsubahrin Tarik Diri

Diterbitkan: Jumaat, 27 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan pada Jumaat memohon supaya peguam yang mewakili Datuk Shamsubahrin Ismail, yang menghadapi lima pertuduhan menipu bekas Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membabitkan RM1.755 juta, menarik diri daripada mewakili ahli perniagaan itu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa ketika pengurusan kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh.

Abdul Razak berkata pihaknya memohon peguam Zarina Ismail menarik diri daripada mewakili tertuduh kerana beliau termasuk dalam senarai saksi penting kes itu dan juga adik kepada tertuduh.

"Ini menjejaskan proses perbicaraan kerana Zarina termasuk dalam senarai 40 saksi pendakwaan yang telah diambil keterangan dan tidak sepatutnya beliau mewakili tertuduh dalam kes ini," katanya yang mengemukakan permohonan itu secara lisan.

Selain itu, Abdul Razak berkata pihaknya sudah membekalkan keterangan kesemua 40 saksi dan 80 dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan.

Bagaimanapun, Zarina membantah permohonan pendakwaan itu kerana tiada sebarang alasan untuk pendakwaan berbuat demikian kerana beliau hanya dipanggil untuk memberi keterangan mengenai isu telefon bimbit tertuduh.

Rozilah berkata pihak pendakwaan mempunyai kuasa mutlak untuk memanggil sesiapa sahaja sebagai saksi dalam kes mereka.

Katanya, pihak pendakwaan perlu mengemukakan permohonan rasmi untuk peguam itu menarik diri dan mahkamah akan mendengar bantahan pihak pembelaan sebelum membuat keputusan.

Beliau turut menetapkan 30 Ogos depan untuk pengurusan kes dan mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini bermula 10 September.

Selain didakwa terhadap lima pertuduhan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Shamsubahrin, 45, yang turut diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, menghadapi 17 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta yang mana kedua-dua kes itu akan dibicarakan bersama.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan