Bekas Kerani Akaun Didakwa Guna 79 Keping Cek Palsu Bernilai Setengah Juta

Diterbitkan: Khamis, 26 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bekas kerani akaun Syarikat Dewina Holdings Sdn Bhd, Norfariza Abu Talib ,33, dibawa keluar oleh anggota polis selepas di hadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 79 pertuduhan menggunakan 79 keping cek palsu berjumlah RM538,994.10, milik tiga syarikat pembekal makanan. Bagaimanapun Norfariza mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu. -fotoBERNAMA
Bekas kerani akaun Syarikat Dewina Holdings Sdn Bhd, Norfariza Abu Talib ,33, dibawa keluar oleh anggota polis selepas di hadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 79 pertuduhan menggunakan 79 keping cek palsu berjumlah RM538,994.10, milik tiga syarikat pembekal makanan. Bagaimanapun Norfariza mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Seorang bekas kerani akaun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 79 pertuduhan menggunakan 79 keping cek palsu berjumlah RM538,994.10 milik tiga syarikat pembekal makanan.

Norfariza Abu Talib, 33, bekas kerani akaun Syarikat Dewina Holdings Sdn Bhd mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Wanita itu didakwa menggunakan 52 keping cek palsu milik Syarikat Northern Terrace (M) Sdn Bhd, 25 keping cek palsu milik Syarikat Desasiswa Catering Services Sdn Bhd dan dua keping cek palsu milik Syarikat Dewina Trading Sdn Bhd.

Ketiga-tiga syarikat berkenaan merupakan anak syarikat kepada Dewina Holdings.

Norfariza didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di dua buah bank di Kajang iaitu CIMB Bank dan RHB Bank di antara 25 Mei 2009 dan 16 Julai 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun yang sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa raya Asma Nadiah Abd Rahman yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 serta seorang penjamin.

Norfariza yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan dia kini bekerja di kedai dobi dengan gaji RM500 sebulan serta perlu menanggung dua orang anak dan ibu bapa.

Aslam kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM45,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan melantik peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan