Penganggur Didakwa Ugut Guna Pisau Potong Sayur

Diterbitkan: Rabu, 25 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu terhadap pertuduhan mengugut dua beradik menggunakan pisau pemotong sayur, minggu lepas.

Nor Azwan Che Mohammad, 20, didakwa mengugut S. Lorens, 29; dan S. James, 30; kedua-duanya pengawal keselamatan, dengan mengacukan dua bilah pisau pemotong sayur kepada mereka dengan niat hendak menyebabkan ketakutan, kecederaan atau kematian di kawasan perumahan, Jalan Sarjana, Taman Connaught, Cheras di sini pada 11.30 pagi 15 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nor Azwan juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan lain iaitu menyimpan sebuah kereta curi milik Wong Ah Moi, 50, bernilai RM10,000 di tempat sama pada 10.50 pagi hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana dia menanggung ibu dan neneknya.

Majistret Mohd Azali Ibrahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Ogos untuk sebutan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan