Kes Sosilawati: Pihak Pembelaan Gagal Panggil Tiga DPP Sebagai Saksi

Diterbitkan: Isnin, 23 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pihak pembelaan dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, gagal dalam cubaan mereka untuk memanggil tiga Timbalan Pendakwa raya sebagai saksi dalam perbicaraan kes itu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan untuk menolak permohonan itu pada Isnin.

Sebelum ini, peguam Manjeet Singh Dhillon mengemukakan permohonan untuk mensapina Timbalan Pendakwa raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd.Ghani, untuk menjadi saksi dalam permohonan pihak pembelaan membuang dua eksibit dalam kes berkenaan.

Ini berikutan eksibit berkenaan, iaitu nota prosiding membabitkan kes dua saksi pendakwaan, U. Suresh dan K. Sarawanan yang didakwa atas kesalahan melupuskan bukti dalam kes pembunuhan itu, telah dikemukakan di mahkamah oleh tiga Timbalan Pendakwa raya berkenaan dan mereka juga terlibat dalam prosiding kes membabitkan Suresh dan Sarawanan di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting.

Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Hakim Akhtar turut menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan prosiding perbicaraan sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusannya itu.

Beliau bagaimanapun memberi tempoh sehingga Khamis ini bagi pihak pembelaan mendapatkan perintah dari Mahkamah Rayuan supaya beliau menangguhkan prosiding perbicaraan itu.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Akhtar berkata pihak pembelaan sebelum ini telah menimbulkan beberapa keadaan di mana tiga Timbalan Pendakwa raya berkenaan telah bertindak secara mala fide (berniat jahat) apabila mendakwa Suresh dan Sarawanan di mahkamah.

Beliau berkata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan kuasa untuk mendakwa diberikan sepenuhnya kepada Timbalan Pendakwa raya dan mahkamah tiada alasan untuk mempersoal perkara itu.

"Sekiranya kuasa itu boleh dipersoal, setiap pertuduhan yang dibuat oleh pihak pendakwaan akan turut dipersoal. Sekiranya seseorang invividu telah dituduh, mahkamah yang akan putuskan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan yang dibuat atau sebaliknya," katanya.

Mengenai nota prosiding kes Suresh dan Sarawanan, Akhtar berkata kebenaran untuk menggunakan dokumen berkenaan dalam perbicaraan hanya membabitkan isu sama ada keterangan kedua-dua saksi itu diberi secara sukarela atau paksaan.

"Satu-satunya pihak yang boleh memutuskan perkara itu (sukarela atau paksaan) ialah hakim. Dalam kes ini Majistret (Majisret Telok Datok) telah memutuskan pengakuan salah Suresh dan Sarawanan dibuat secara rela, justeru, mahkamah ini tidak perlu memanggil saksi lain untuk membuktikan sama ada pengakuan salah mereka dibuat secara paksa atau rela.

Manjeet berkata pihak pembelaan akan merayu terhadap keputusan itu.

Akhtar berkata beliau tiada masalah dengan niat pihak pembelaan untuk merayu tetapi prosiding perbicaraan perlu diteruskan kerana keputusannya itu bukan keputusan terakhir memandangkan perbicaraan masih berjalan.

Peguam Amer Hamzah Arshad berkata prosiding perbicaraan perlu ditangguhkan berikutan ketiga-tiga Timbalan Pendakwa raya berkenaan merupakan subjek dalam rayuan itu dan isu penangguhan tidak akan timbul sekiranya pasukan pendakwaan diambil alih oleh Timbalan Pendakwa raya lain.

Akhtar bagaimanapun tetap dengan keputusannya untuk tidak menangguhkan prosiding perbicaraan kecuali mendapat arahan daripada Mahkamah Rayuan untuk berbuat demikian.

Bekas peguam N.Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang, T.Thilaiyalagan, 21, R.Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 32, diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan