Ahli Perniagaan Bebas Tuduhan Miliki Senjata Api, Peluru

Diterbitkan: Isnin, 23 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan seorang ahli perniagaan daripada pertuduhan memiliki pelbagai jenis senjata api termasuk 10 pucuk pistol serta memiliki 856 butir peluru dan tiga butir bom tangan tanpa lesen senjata, tujuh tahun lepas.

Hakim Datuk Jagjit Singh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Teo Kim Theam, 50.

Jagjit ketika membuat keputusan itu berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai pengetahuan, penjagaan dan pengawalan terhadap senjata api yang ditemui pada sofa dalam bilik kondominium yang disewa teman wanitanya, Sally Lee Yoke Tai.

"Tidak ada bukti yang boleh dipercayai untuk mengaitkan tertuduh dengan eksibit senjata api itu," katanya.

Jagjit berkata, walaupun tertuduh mempunyai kunci serta akses di kondominium itu, namun tiada bukti yang menunjukkan tertuduh mempunyai pemilikan eksklusif terhadap senjata api tersebut.

Jagjit berkata, berdasarkan keterangan saksi iaitu Superitendan Sharul Lali Masduki bahawa Lee, yang merupakan saksi ketiga pendakwaan dalam kenyataannya memaklumkan bahawa senjata api itu adalah milik teman lelakinya (tertuduh), adalah bukti yang tidak boleh dipercayai.

Jagjit berkata, kegagalan pihak pendakwaan memanggil orang gaji di kondominium itu yang dikenali sebagai "Yoni" untuk memberi keterangan, telah gagal untuk mengaitkan tertuduh mempunyai pemilikan eksklusif terhadap senjata api itu.

Katanya, terdapat keterangan daripada pegawai penyiasat yang dikenali sebagai Inspektor Mohd Sharil bahawa Yoni telah pulang ke Indonesia namun tiada kenyataan bertulis dikemukakan kepada mahkamah berhubung perkara itu.

Mengikut pertuduhan Teo didakwa memiliki dua laras Rifle dan lapan pucuk pistol pelbagai jenis secara tidak sah serta memiliki 856 butir peluru dan tiga butir bom tangan tanpa lesen senjata di blok 31, A1-08-07, Kondominium Miharja, Taman Miharja, Jalan Cheras di sini pada 11.10 pagi 27 September 2005.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun serta enam sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, Teo didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 8(a)akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli memanggil sembilan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan bermula 4 Jun lepas manakala tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja. - BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan