Empat Pelajar Warga Nigeria Didakwa Edar Syabu

Diterbitkan: Jumaat, 20 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Empat pelajar warga Nigeria hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu, seberat 977 gram pada 9 Julai lepas.

Cisse Moise, Uba Chimezie Stanley, Ahamefule Ugonna Lucky, Chigozirim Akakem Bem yang berumur antara 25 hingga 32 tahun, didakwa dengan niat bersama mengedar dadah itu di rumah Blok W4-04-11, Goodyear Court 9, USJ 14 Persiaran Mulia, Subang Jaya, pada 11.30 malam, 9 Julai lepas.

Keempat-empat lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan dari kesemua pelajar itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Surya Wati Shawal.

Surya Wati menetapkan 3 Sept depan untuk sebutan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan