Perhimpunan Bersih 1.0: Mahkamah Rayuan Tolak Rayuan 16 Perayu

Diterbitkan: Rabu, 18 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Rabu menolak rayuan enam orang, termasuk timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, Anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang dan Anggota Parlimen Padang Serai N.Gopalakrishnan, untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah mereka membela diri terhadap tuduhan menyertai perhimpunan Bersih pada 2007.

Hakim Datuk K.N.Segara, yang mempengerusikan panel tiga hakim, menolak rayuan mereka setelah membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan bahawa mereka tidak mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kerana perkara itu bersifat interlokutori dan oleh itu tidak boleh dirayu.

Berikutan keputusan itu, Mohamad Sabu, lebih dikenali sebagai Mat Sabu, Chua, yang dikenali ramai sebagai Tian Chua, Gobalakrishnan, Mohd Salim Yeslam, Ahmad Razali Abd Rahman, Razali Abdul, Muhd Harith Fatillah Shahabudin, Saleh Mohamad Tahir, Azahar Yusop, Sulaiman Ahmad, Taib Abdullah, Mohd Abi Salam Ariffin, Ishak Othman dan Mohd Zad Abdullah serta dua juvana, perlu membela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebutan kes mereka dijadual diadakan di Mahkamah Sesyen pada 29 Ogos.

Hakim Segara, yang menduduki panel itu bersama Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Lim Yee Lan, memutuskan bahawa mereka terikat oleh keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Pendakwa Raya lwn Letchumanan Suppiah bahawa sesuatu keputusan yang dibuat dalam sesuatu perbicaran di mana hak seseorang tidak ditolak sepenuhnya, tidak boleh dibuat rayuan mengikut Seksyen 3 Akta Mahkamah Keadilan (CJA) 1964.

Panel itu juga mengambil kira hujah peguam Nasar Khan Mirbas Khan, yang mewakili 14 perayu bahawa Seksyen 3 CJA bukan undang-undang yang baik kerana kesan daripada seksyen itu memberi erti bahawa pihak pendakwaan boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan mengenai keputusan sesuatu mahkamah membebaskan perayu pada akhir kes pihak pendakwaan, tetapi perayu tidak boleh berbuat demikian sekiranya keputusan mahkamah tidak menyebelahi mereka.

Hakim Segara berkata, satu-satunya pilihan yang ada ialah membawa perkara itu ke Parlimen.

Peguam Jason Tay mewakili Tian Chua dan Gobalakrishnan.

Mereka dituduh menyertai perhimpunan haram berkenaan yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di beberapa tempat, termasuk di perkarangan Masjid Negara, Jalan Istana Baru, Jalan Raja Laut dan berdekatan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman antara 1 tengah hari dan 4 petang pada 10 November, 2007.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 143 dan 145 Kanun Keseksaan, dengan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 27(4) (a) Akta Polis 1967.

Mengikut Seksyen 143, jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum enam tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut Seksyen 145, hukuman yang boleh dikenakan ialah dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 27(5)(a) pula memperuntuk hukuman denda RM10,000 dan penjara tidak melebihi satu tahun jika sabit kesalahan.

Pada 19 November 2010, Mahkamah Sesyen membebaskan dan melepaskan 16 perayu pada akhir kes pendakwaaan, tanpa memerintah mereka membela diri, tetapi berikutan rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi mengubah keputusan itu dan memerintah mereka membela diri. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan