Skandal PKFZ: Ling Tidak Arahkan Pegawainya

Diterbitkan: Sabtu, 14 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik tidak mempunyai sebarang niat untuk menipu Kabinet kerana beliau tidak mengarahkan pegawainya untuk menyembunyikan apa-apa fakta berkenaan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Peguam Wong Kian Kheong berkata demikian dalam hujahan pembukaan pembelaan diri Dr Ling, 68, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi di sini, Jumaat.

Wong berkata pada semua masa yang material, Dr Ling telah mengarahkan pegawai di Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Lembaga Pelabuhan Klang (PKA)untuk mematuhi penilaian Jabatan Penilaian dn Perkhidmatan Harta (JPPH)berhubung perolehan tanah sama ada dengan cara pemerolehan wajib atau pembelian langsung.

Beliau berkata dua surat daripada Dr Liong kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertarikh 3 April dan 29 Jun 2002 serta nota MOT kepada Kabinet disediakan oleh pegawai MOT.

"Dr Ling bertindak selaras dengan syor dan nasihat pegawai MOT. Dr Ling pada bila-bila masa tidak mengarahkan atau meminta pegawai MOT untuk menyembunyikan, memberi gambaran yang salah dan mengelirukan apa-apa fakta dalam persediaan dua pucuk surat kepada Tun Mahathir dan dua nota ringkasan bertarikh 29 Oktober 2002 daripada Dr Ling berkenaan pengambilan balik tanah di Pulau Indah.

"Tiada siapa memberitahu Dr Ling bahawa surat berkenaan, memorandum atau apa-apa bentuk dokumentasi adalah silap, cacat atau tidak tepat dalam apa jua cara," katanya pada hari pertama kes pembelaan itu.

Wong juga berkata cara pengiraan harga tanah dan kaedah pembelian yang diguna pakai adalah sangat teknikal.

"Pengiraan tersebut melibatkan kupon atau kadar faedah kadar sasaran aliran tunai diskaun (DCF), penerbitan bon, tiada pembayaran faedah untuk satu tempoh tertentu, faedah terakru dan nota janji hutang...ia sesuatu yang orang biasa tidak akan mampu memahami dengan mudah," katanya.

Wong berkata pegawai kanan dari MOT, PKA dan Kementerian Kewangan (MOF) keliru dengan sifat yang sangat teknikal bagi skim pembiayaan tanah tersebut.

Manakala surat pegawai JPPH bertarikh 29 Sept 2000 kepada MOT memberikan tanah tersebut nilai istimewa RM21 setiap kaki persegi (skp) dan tidak sampai tiga hari kemudian pada 2 Okt 2000, bekas ketua penolong setiausaha Bahagian Maritim di MOT menulis surat kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dengan menyatakan nilai istimewa tanah berkenaan sebagai RM25 skp, katanya.

"Pihak pembelaan akan menunjukkan bahawa majoriti surat pada ketika itu, memo dan minit mesyuarat mwerujuk kepada nilai istimewa tanah sebanyak RM25 skp. Tiada pembetulan dilakukan oleh MOT, PKA, MOF atau Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang menyebut bahawa RM25 skp itu bukan nilai istimewa sehingga Di Ling didakwa," katanya.

Wong berkata hanya satu nilai istimewa tanah berkenaan iaitu RM21 skp dan pihak pembelaan akan menunjukkan bahawa RM25 skp dalam surat pegawai JPPH kepada MOT adalah 'nilai muka' bon seperti dikira oleh JPPH dengan mengecualikan enam peratus kupon atau kadar faedah.

Peguam itu berkata MOF mempunyai pengetahuan penuh penilaian yang diberikan oleh JPPH tanah berkenaan kerana semua penilaian berhubung tanah, sama ada pemerolehan wajib atau pembelian langsung, disediakan oleh JPPH iaitu sebuah jabatan teknikal di bawah MOF.

Beliau juga berkata pada setiap masa material, MOF telah terlibat secara aktif dalam rundingan dengan KDSB berhubung dengan perolehan tanah sama ada di peringkat MOF atau PKA.

"Kabinet mengambil kira faktor lain sebelum membuat keputusan membeli tanah daripada KDSB. Dalam erti kata lain, penilaian JPPH bukan alasan tunggal atau tegas mengapa Kabinet memutuskan untuk memberi kelulusan dengan pembelian tanah oleh PKA. "Dr ling tidak memihak atau bertindak sebagai jurucakap KDSB pada bila-bila masa. Beliau tidak pernah atau mempunyai apa-apa urusan dengan KDSB dan mana-mana pengarah atau pekerja KDSB," katanya.

Dr Ling memegang jawatan menteri pengangkutan selama 17 tahun dari 1986.

Beliau tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dr Ling juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan pertama, Dr Ling didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya.

Manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. Wong juga berkata Dr Ling telah dinafikan perbicaraan adil dan hak perlembagaannya di bawah Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli.

"Dakwaan berkenaan peristiwa yang berlaku antara 1999 hingga 2002. Dr Ling berundur sebagai menteri pada Mei 2003. Dokumen rasmi berkaitan projek PKFZ diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Dr Ling tidak mempunyai sebarang dokumen selepas persaraannya.

"Dr Ling tidak mempunyai akses kepada rekod melainkan daripada apa yang disediakan oleh pihak pendakwaan untuk tujuan menyediakan pembelaannya. Pada keadaan pembelaan Dr Ling telah prejudis secara serius.

"Jawatankuasa Kira-Kira Awam mendedahkan beberapa penemuan buruk terhadai pelbagai individu dalam MOT dan PKA (bukan terhadap Dr Ling) berkaitan dengan pembelian tahan itu. Pendedahan buruk seperti itu oleh siasatan awam adalah jelas merupakan penghalang kepada perbicaraan yang adil," katanya.

Perbicaraan disambung Isnin ini. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan