Juvana Somalia Fail Notis Ketepi Tuduhan Tembak Komando Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 13 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang juvana Somalia, yang dituduh bersama enam lagi rakyat negara itu melepaskan tembakan terhadap komando Malaysia di Teluk Aden, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan tuduhan itu.

Remaja berusia 16 tahun itu memfailkan notis usul untuk mengetepikan tuduhan berkenaan pada 5 Julai melalui Tetuan Chooi & Company di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini.

Salinan notis itu diedar kepada media pada Khamis.

Juvana berkenaan memohon mendapatkan perisytiharan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971.

Juvana itu, yang kini ditahan di Penjara Kajang, juga memohon mendapatkan perintah mahkamah agar tuduhan terhadapnya ditangguh untuk selama-lamanya dan/atau diketepikan untuk selama-lamannya dan/atau ditolak.

Dalam afidavit bertarikh 19 Jun lepas, remaja berkenaan mendakwa kesalahan yang dikatakan dilakukannya seperti yang terkandung dalam kertas pertuduhan, berlaku di luar wilayah Malaysia dan bukan di bumi atau laut lepas Malaysia.

Dia juga mendakwa kapal yang disebut dalam pertuduhan itu bukan kapal Malaysia atau didaftarkan di Malaysia.

Mahkamah Tinggi menetapkan 24 September sebagai tarikh untuk mendengar permohonan itu.

Pada 11 Feb tahun lepas, juvana berkenaan dituduh bersama enam rakan senegaranya melepaskan tembakan terhadap pasukan angkatan tentera Malaysia di atas kapal MT Bunga Laurel dalam cubaan merompak kapal saudagar itu dengan niat untuk menyebabkan kematian atau kecederaan, di kawasan kira-kira 250 batu nautika dari perairan Oman, pada 20 Jan tahun lepas.

Tiada pengakuan direkodkan apabila tuduhan itu dibaca di Mahkamah Majistret. Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Kes ini dipindah ke Mahkamah Tinggi pada 14 April tahun lepas.

Pada 20 Januari, 2011, komando Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghulurkan bantuan kepada MT Bunga Laurel apabila kapal itu diserang lanun Somalia bersenjatakan rifel AK-47 dan pistol dalam operasi menyelamat diberi nama 'Fajar', yang dijalankan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan