Ibu Bapa Budak Lelaki Terlanggar Pintu Kaca Fail Saman

Diterbitkan: Rabu, 11 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang jurutera dan isterinya pada Selasa memfailkan saman terhadap Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan dua pihak lain kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan kemalangan yang mengorbankan anak lelaki mereka berumur lima tahun di Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah, Kedah pada Mac lepas.

Foong Kwok Mun, 40, dan isterinya, Ng Lai Kein, 39, seorang kerani memfailkan saman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Tetuan Halim Hong & Quek.

Selain Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, pasangan suami isteri berkenaan menamakan Menteri Pengangkutan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak malang berkenaan, Foong Chun Yuan cedera parah akibat tercucuk kaca di pahanya selepas terlanggar pintu kaca di jeti itu dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Bagaimanapun, Chun Yuan disahkan meninggal dunia tiga hari selepas kejadian akibat jantung terhenti dan otak tidak berfungsi berikutan kegagalan menerima oksigen ekoran kecederaan yang dialami dalam kemalangan itu.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Kwok Mun dan Ng mendakwa kira-kira pukul 6 pagi, 9 Mac lepas, mereka bersama anggota keluarga termasuk Chun Yuan mengunjungi jeti berkenaan untuk mendapatkan tiket feri ke Pulau Langkawi sempena cuti sekolah yang baru bermula.

Mereka mendakwa pada masa itu, jeti berkenaan dibuka dengan lampu malap dan terdapat beberapa petugas atau pengawal keselamatan yang sedang bertugas.

Seterusnya pasangan suami isteri itu mendakwa, selepas keluar dari bilik air di jeti berkenaan, Chun Yuan telah melalui atau menggunakan satu pintu kaca hitam yang memisahkan kaunter tiket serta ruang menunggu yang disyaki mempunyai retakan menyebabkan ia secara tiba-tiba pecah berderai.

Akibatnya, plaintif mendakwa, anak lelaki mereka telah mengalami kecederaan parah selepas serpihan kaca daripada pintu berkenaan tertusuk di bahagian atas pahanya.

Ng yang mendapati anaknya terlantar di atas lantai jeti serta merta meluru kepada Chun Yuan dan memandangkan kecederaan dialami anaknya parah, pasangan suami isteri berkenaan dan anggota keluarga mereka meminta bantuan daripada pengawal keselamatan tetapi petugas berkenaan didakwa menolak permintaan plaintif serta gagal menghulurkan sebarang bantuan sewajarnya.

Pasangan suami isteri itu mendakwa, petugas berkenaan juga bukan sahaja enggan menghulurkan bantuan segera malah telah mengakibatkan kesuntukan masa untuk mereka menghantar Chun Yuan ke hospital apabila enggan atau gagal menyatakan kepada mereka lokasi hospital berdekatan dan gagal membawa plaintif ke hospital berdekatan.

Petugas berkenaan juga didakwa secara tidak munasabah menuntut pampasan pintu kaca yang pecah serta menghalang plaintif atau saudara mara mereka meninggalkan jeti itu sehingga nama dan nombor kad pengenalan diberikan bagi tujuan tuntutan pampasan.

Kwok Mun dan Ng berkata Chun Yuan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah serta dirawat di ICU dan semasa di hospital mereka mendakwa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pihak jeti yang menuntut pampasan ganti rugi ke atas pintu kaca tersebut dan mengugut akan membuat laporan polis jika mereka gagal membayar pampasan.

Pasangan suami isteri itu berkata, selepas tiga hari menerima rawatan, Chun Chuan tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada pukul 6.20 pagi di hospital berkenaan.

Plaintif mendakwa kemalangan itu berlaku akibat kecuaian kesemua defendan atau pihak jeti berkenaan yang berada di bawah pentadbiran defendan pertama apabila mereka antara lain didakwa gagal bertindak secara profesional apabila secara tidak munasabah menahan anggota keluarga untuk mendapatkan maklumat persendirian tanpa mengutamakan kecederaan Chun Yuan dan gagal memastikan perkarangan jeti berada dalam keadaan selamat untuk digunakan pengunjung.

Pasangan suami isteri itu juga mendakwa atas kecuaian itu mereka telah kehilangan Chun Yuan yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan terpaksa mengalami kesedihan dan kerugian.

Plaintif seterusnya mendakwa pada 10 Mei lepas mereka melalui surat peguam telah menuntut bagi kehilangan yang dialami terhadap pihak defendan namun sehingga kini defendan didakwa enggan menjawab tuntutan berkenaan.

Justeru, pasangan suami isteri itu menuntut ganti rugi khas, ganti rugi kesedihan sebanyak RM10,000, ganti rugi am, teladan atau tambahan atas kemalangan yang berlaku di jeti berkenaan, faedah empat peratus, kos dan sebarang relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Thoo Yee Huan yang mewakili pasangan suami isteri berkenaan memberitahu media pihaknya akan menyerahkan saman kepada pihak defendan secepat mungkin. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan