Juruelektrik Dipenjara Empat Tahun Rompak Pekerja Stesen Minyak

Diterbitkan: Selasa, 10 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang juruelektrik dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini Selasa selepas mengaku bersalah merompak seorang pekerja stesen minyak warga Bangladesh dengan bersenjatakan parang Februari lepas.

Hakim Latifah Mohd Tahar memerintahkan tertuduh, Mohd Shafizan Ramli, 20, menjalani hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 26 Februari.

Mohd Shafizan didakwa bersama-sama seorang lagi yang dihadapkan ke mahkamah pada 5 Mac lepas, Mohamad Zakwan Awang Chek, 20, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang dengan mengambil sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM1,881.73 daripada Md Taher Md Mokbul Hossain.

Mohamad Zakwan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan Mahkamah Sesyen yang sama menetapkan 20 Julai ini tarikh perbicaraan.

Mohd Shafizan didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Minyak Caltex Seksyen 27 di sini, kira-kira pukul 9.45 malam pada 13 Februari lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Mengikut fakta kes, ketika Md Taher dan seorang lagi pekerja stesen minyak warga Bangladesh, Md Rajur Ahammad, berada di kaunter pembayaran, tertuduh telah masuk meminta rokok daripada Md Rajur.

Tertuduh kemudian masuk ke kaunter bayaran lalu mengacu parang kepada Md Taher dan mengarahkan Md Rajur mengeluarkan wang dari mesin kaunter bayaran.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah hukuman ringan atas alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Ketika ditanya Latifah mengapa dia melakukan kesalahan itu, tertuduh berkata dia terpengaruh dengan rakan-rakannya.

Timbalan Pendakwa Raya R.Kalaiyarasi yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan berkata kedua-dua pekerja stesen minyak berkenaan tidak mengalami kecederaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan