Bekas Pengarah JPJ Kedah Lepas, Bebas Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 6 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Zulkifli Othman pada Jumaat menarik nafas lega apabila Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan menerima rasuah RM1,000 daripada seorang pemilik akademi memandu lima tahun lepas.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

"Mahkamah berpendapat pihak pembelaan berjaya mematahkan anggapan terhadap pertuduhan, dan melepas serta membebaskan tertuduh daripada pertuduhan itu," katanya.

Zulkifli, 51, yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, didakwa menerima suapan itu daripada pemilik akademi memandu itu di Kelab De Macau, Lower Ground Floor, Hotel Renaissance, di sini pada kira-kira 1.30 pagi, 4 Ogos 2007.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sekurang-kurangnya 14 hari hingga 20 tahun, dan denda minimum RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zulkifli diwakili peguam Datuk C.V Prabakaran dan Gurucharan Singh Sohan sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika ditemui pemberita, Zulkifli bersyukur dengan keputusan mahkamah itu selepas lima tahun kes itu dibicarakan.

Pada 22 Mac lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha memerintahkan beliau membela diri terhadap pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Zulkifli pada awalnya didakwa dengan empat pertuduhan rasuah tetapi dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen di sini daripada semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan pada April tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan