Pesakit Mental Didakwa Langgar Hingga Maut

Diterbitkan: Khamis, 5 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang penganggur yang dikatakan menghidap penyakit schizophrenia dihadap ke Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan memandu dengan cara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang pegawai pentadbiran sebuah kilang, dua tahun lepas.

Mohamad Haikal Sulaiman, 22, bagaimanapun tidak menyatakan sebarang pengakuan setelah pertuduhan dibaca terhadapnya.

Peguam Mohd Shukry Zainal Abidin, yang mewakili Mohamad Haikal, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu menghidap penyakit schizophrenia dan telah disahkan oleh sebuah hospital swasta.

Berikutan itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar memohon kepada mahkamah supaya tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak bagi mengetahui status mentalnya ketika kejadian.

Mohamad Haikal didakwa melanggar Syazrah Sarifpuddin, 25, di Batu 16, Sungai Pelong menghala ke Kuala Selangor, Selangor, pada 1.39 pagi, 14 Jun 2010.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang membawa hukuman penjara dari dua tahun hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 dan RM20,000, jika sabit kesalahan.

Majistret K B Elena Hong Tze Lan membenarkan permohonan itu dan menetapkan 1 Ogos ini untuk tarikh sebutan sementara menunggu laporan pemeriksaan mental itu.

Di Mahkamah Majistret lain, seorang peniaga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu seorang rakyat Indonesia hingga menyebabkan beliau menyerahkan wang tunai RM800 dan sebuah telefon bimbit kepadanya, bulan lepas.

Rasma Efendy Rahmat, 35, bersama-sama dua orang yang masih bebas, didakwa menipu Luluk Mukarromah, 24, dari Madura, dengan memperdayakannya supaya mempercayai sekeping tiket pertaruhan ramalan judinya, memenangi tempat pertama hingga mendorong mangsa menyerahkan barang-barang itu.

Rasma Efendy yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Surya Wati Shawal membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Ogos untuk tarikh sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan