Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Menyamar Anggota Tentera

Diterbitkan: Khamis, 5 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR GAJAH: Seorang ahli perniagaan dan seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan menyamar dan memakai pakaian anggota tentera baru-baru ini.

Lionel Albert Goonting, 37, dan Alison Felix De Silva, 39, masing-masing didakwa menyamar sebagai penjawat awam dengan memakai pakaian tentera laut dan tentera darat ketika mengetahui bahawa mereka tidak memegang jawatan itu.

Mereka juga masing-masing didakwa sengaja memakai pakaian tentera laut dan tentera darat dengan niat supaya dipercayai sebagai seorang kelasi dan askar.

Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Markas 10 Briged Para, Kem Terendak di sini kira-kira 2.45 petang pada 23 Jun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 140 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Firdaus Salleh membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 setiap orang dan menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp Meran Anak Emai manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Fadhli Mat Sutris dan Ahmad Faiz Munawar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan