Bicara Kes Saman Terhadap Gobalakrishnan, TV3 Ditetapkan 1 Oktober

Diterbitkan: Selasa, 3 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menetapkan tiga hari mulai 1 Oktober untuk perbicaraan kes saman malu berjumlah RM2.5 juta yang difailkan oleh peguam Manjeet Singh Dhillon terhadap Anggota Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan dua yang lain.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh tersebut di dalam kamarnya dengan dihadiri kesemua pihak.

Peguam Lim Qi Si yang mewakili pihak TV3 memberitahu pemberita bahawa hakim turut menetapkan 25 Julai untuk pengurusan kes dan memerintahkan semua pihak menyerahkan senarai saksi serta dokumen yang akan digunakan ketika perbicaraan kelak.

Pada 26 September tahun lepas, Manjeet memfailkan samannya dengan menamakan Gobalakrishnan, pemberita Utusan Malaysia Raja Syahrir Abu Bakar, Utusan Melayu (M) Berhad dan TV3 sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Manjeet menyatakan bahawa Gobalakrishnan mengadakan temu bual dengan media di mana Anggota Parlimen berkenaan secara berbohong dan berniat jahat mengeluarkan kata-kata menghina tidak berasas mengenai Manjeet dan dikira akan menyebabkan kerosakan kepada maruahnya.

Peguam itu berkata laporan wartawan tentang temubual tersebut kemudiannya 'secara palsu dan disiarkan dengan niat jahat dan diedarkan oleh Utusan pada 17 Ogos tahun lepas dengan tajuk 'Manjeet selalu burukkan kerajaan' dengan cara yang cuai tidak mempedulikan kebenaran kandungannya'.

Sebahagian besar daripada laporan temu bual itu dikatakan telah disiarkan melalui berita TV3 pada 16 Ogos tahun lepas.

Manjeet menuntut ganti rugi RM2.5 juta, termasuk ganti rugi contoh dengan kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan