Bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Bebas Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Selasa, 3 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Abd Karim Abu Hassan, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Selasa, atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM10,000 daripada seorang suspek yang disyaki terlibat dalam sindiket potong kereta, hampir lima tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah dalam keputusannya berkata pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Abd Karim, 58, didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di Bukit Idaman, Batu Caves, pada 19 September 2007.

Dalam pertuduhan pertama, Abd Karim dengan seorang lain dengan niat bersama didakwa meminta rasuah wang tunai RM10,000 daripada Lim Ching Jing, 41, sebagai dorongan baginya supaya tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Lim yang disyaki terlibat dalam sindiket potong kereta.

Abd Karim yang ketika itu Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak juga didakwa menerima rasuah wang tunai RM10,000 dalam bentuk cek Alliance Bank daripada adik perempuan Lim, iaitu Lim Kin Lan sebagai dorongan untuk beliau melakukan perkara yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Segambut Kuala Lumpur pada 12 Okt 2007.

Abd Karim didakwa mengikut Seksyen 10 (a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Abd Karim diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork dan pendakwaan dikendalikan oleh Mohd Zaki Mohd Salleh.

Dalam kes yang sama, seorang pembantu kedai peralatan elektrik, Soo Chong Man, 44, yang bertindak sebagai perantara dalam kes rasuah itu dihukum penjara lima tahun dan denda RM430,000 atau 43 bulan penjara jika gagal membayar denda selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan.

Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM60,000 tanpa cagaran kepada Soo.

Mat Ghani kemudian membenarkan rayuan permohonan peguam Soo, C.N.Sritharan, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan