Rasuah: Tekong Warga Vietnam Didenda RM10,000

Diterbitkan: Rabu, 27 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang tekong bot nelayan warga Vietnam menitiskan air mata selepas dijatuhi hukuman denda RM10,000 dan penjara tujuh hari oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pada Rabu kerana kesalahan memberi rasuah kepada anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) awal bulan ini.

Hakim Fathiyah Idris juga memerintahkan Vo Van Quyet, 42, menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan dalam bahasa Vietnam oleh penterjemah mahkamah.

Quyet, dituduh memberi suapan RM1,250 kepada pegawai APMM, Khairul Imran Md Aris sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan secara kaedah tunda ganding yang melanggar Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan menggunakan pekerja asing tanpa permit kerja yang sah di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1976.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di kawasan Pulau Tulai, Pulau Tioman pada 12.15 malam, 8 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Syafinas Shabudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh meminta maaf kepada kerajaan Malaysia kerana tidak menyedari perbuatannya itu menyalahi undang-undang dan merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan