Permohonan Dr Ling Supaya Hakim Tarik Diri Ditolak

Diterbitkan: Jumaat, 22 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik supaya Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes terhadapnya ditolak oleh Mahkamah Tinggi, di sini Khamis.

Hakim Ahmadi menolak permohonan itu tanpa kos selepas mendapati ia tidak mempunyai merit setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak.

Dalam keputusannya, beliau berkata, komen-komen yang dipersoalkan Dr Ling tidak menjejaskan perbicaraan awal.

"Komen-komen yang dirujuk pembelaan mestilah dikaitkan dengan keterangan saksi pendakwaan semasa pemeriksaan utama atau pemeriksaan semula.

"Komen itu haruslah berkaitan dengan hujahan pembelaan, dan yang paling utama, komen itu tidak menjejaskan perbicaraan awal," katanya.

Menurut Ahmadi, oleh kerana komen itu dibuat pada peringkat prima facie, pihak pembelaan boleh menyangkal komen itu jika mereka mampu berbuat demikian.

Terdahulu, peguam Dr Ling, Wong Khian Keong mengemukakan alasan bahawa komen-komen yang diberikan oleh Hakim Ahmadi ketika memutuskan beliau membela diri pada 9 Mac lalu adalah berat sebelah yang nyata.

Katanya, tugas pada akhir kes pendakwaan adalah bagi menentukan sama ada kes prima facie dibuktikan berhubung tuduhan terhadap tertuduh.

Wong berkata, ia bukan fungsi bagi mahkamah perbicaraan untuk menimbang atau membuat spekulasi mengenai kemungkinan pembelaan dan memberi pertimbangan kepada itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup berhujah bahawa tidak ada langsung sebarang unsur berat sebelah yang sebenar daripada 13 petikan alasan bertulis hakim itu.

"Dapatan yang dibuat oleh hakim dalam alasan bertulis 83 muka surat, jauh memperlihatkan sebarang persepsi berat sebelah dengan memaklumkan tertuduh kes, dia boleh menangkis atau memperjelaskan...oleh itu membolehkan pembelaanya dikemukakan secara adil," katanya.

Dr Ling, 68, dibicarakan atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah, Klang bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan RM1.08 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu antara 25 Sept 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Perbicaraan disambung semula 13 Julai ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan