Mustafa Ali Akui Tiada Bukti Dokumen Kaitkan Umno Dengan Serbuan Di Gereja

Diterbitkan: Jumaat, 15 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengakui maklumat dalaman yang diperolehi daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai dakwaan wujudnya elemen dan peranan Umno dalam serbuan jabatan itu di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos tahun lepas tidak disokong dengan bukti berbentuk dokumen.

Mustafa, 68, berkata beliau hanya menerima maklumat itu daripada beberapa panggilan telefon serta individu yang memberikan maklumat secara lisan termasuk daripada beberapa pegawai Jais sendiri.

"Daripada maklumat itu saya percaya memang ada peranan Umno dalam serbuan itu. Bagaimanapun pegawai Jais tersebut tidak memperincikan kepada saya sejauh mana peranan yang dimainkan oleh Umno dalam serbuan itu," katanya.

Mustafa memberi keterangan pada perbicaraan kes saman RM10 juta oleh Umno terhadap beliau dan tiga lagi berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, yang memfailkan saman itu 14 September tahun lepas, menamakan Mustafa, pencetak akhbar Harakah iaitu Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, penyunting akhbar berkenaan Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Harakah, Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan.

Mustafa berkata atas kepercayaan dan keyakinan itu maka beliau mengeluarkan kenyataan akhbar berkenaan kerana tidak mahu anggota PAS terperangkap dalam permainan politik Umno dalam isu serbuan JAIS di gereja itu.

Beliau berkata kenyataan itu juga dikeluarkan kerana menurut maklumat yang diperolehi serbuan itu tidak diketahui oleh pengarah JAIS dan exco agama pada masa itu iaitu Datuk Dr Hasan Ali yang hanya mengetahuinya selepas serbuan dibuat.

"Saya melihat kenyataan saya itu sebenarnya ibarat sebagai satu 'morning call' dari pemimpin kepada orang bawahannya, tidak lebih dari itu," katanya.

Mustafa berkata beliau ada berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Jais bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai operasi serbuan itu tetapi perkara itu tidak berlaku kerana jabatan itu dinasihatkan supaya tidak mengadakan sebarang pertemuan dengan mana-mana pihak sehingga siasatan selesai.

Ketika disoal peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Umno, Mustafa tidak bersetuju bahawa kenyataannya yang dibuat pada 15 Ogos 2011 itu bertujuan untuk memfitnah Umno.

"Saya katakan Datuk keluarkan kenyataan itu kerana tidak berpuas hati tiada pertemuan berlaku antara beliau dan Jais," soal Mohd Hafarizam dan Mustafa menjawab tidak setuju.

"Saya katakan kenyataan Datuk keluarkan selepas dapat maklumat hanya untuk heret Umno ke polemik isu serbuan JAIS sahaja," soal Mohd Hafarizam dan Mustafa menjawab tidak setuju.

Ketika disoal Mohd Hafarizam, pemimpin PAS itu juga tidak pasti sama ada pegawai JAIS yang memberi maklumat kepadanya turut terlibat dalam serbuan berkenaan.

Mustafa seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Mohd Hafarizam bahawa individu yang memberi maklumat kepadanya berhubung peranan Umno dalam serbuan di gereja itu berkemungkinan adalah anggota PAS.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Zaki Husin bersambung pada Jumaat untuk hujahan kedua-dua pihak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan