Edar Dadah Lebih 14Kg, Warga Iran Dijatuhi Hukuman Gantung

Diterbitkan: Jumaat, 15 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap seorang penghantar surat warga Iran kerana mengedar 14.7kg methampetamine tiga tahun lepas.

Hakim, Datuk Mokhtarudin Baki menjatuhi hukuman itu terhadap Rahmani Ali Mohammad, 30, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rahmani didakwa mengedar dadah itu pada 6 Jun 2009 di kaunter pemeriksaan kastam di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang.

Mokhtarudin semasa membacakan keputusannya berkata tertuduh mempunyai kawalan ke atas dua bagasi tempat dadah itu disorok dan kelihatan resah gelisah semasa diminta oleh rakan senegaranya memberi kombinasi nombor untuk membuka kunci beg berkenaan.

Selain itu, katanya, jumlah dadah yang dibawa tertuduh dari Iran ke Malaysia adalah terlalu besar dan bukannya untuk kegunaan sendiri tetapi untuk diedarkan.

Pada prosiding pada Jumaat, Rahmani diwakili peguam Afifudin Hafifi manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azamuddin Abdul Aziz. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan