Lelaki Iran Ke Tali Gantung Edar Dadah

Diterbitkan: Rabu, 13 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 312.2 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dua tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Abbas Shirazi, 26, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa menyembunyikan dadah berkenaan dalam sandal yang dipakainya di kaunter pemeriksaan Kastam D, cawangan pemeriksaan penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, kira-kira pukul 10.25 pagi pada 15 Jun 2010.

Pekerja kilang itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata tertuduh dalam pembelaannya mendakwa telah diupah dengan jumlah wang yang besar untuk membawa sepasang sandal dan alat pelurus rambut sebagai sampel ke Malaysia.

Beliau berkata keterangan tertuduh bahawa dia tidak mengetahui mengenai kewujudan dadah di dalam sandal berkenaan jelas tidak munasabah.

"Justeru, mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan oleh itu tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya.

Sejurus Noor Azian membuat keputusannya, Abbas yang berdiri di kandang tertuduh dilihat melemparkan senyuman.

Seramai enam saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia, Azamuddin Abd Aziz sementara tertuduh diwakili peguam Datuk N.Sivananthan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan