Dua Pemilik Pusat Jagaan Kucing Mengaku Bersalah Abai 30 Ekor Kucing

Diterbitkan: Rabu, 13 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Yushairi Khairuddin (kanan) dan Shahrul Azuwan Adanan (kiri) berjalan keluar dari Mahkamah Seksyen, Petaling Jaya. -foto Azhar MAHFOF / The Star
Yushairi Khairuddin (kanan) dan Shahrul Azuwan Adanan (kiri) berjalan keluar dari Mahkamah Seksyen, Petaling Jaya. -foto Azhar MAHFOF / The Star

PETALING JAYA: Dua lelaki yang mengendalikan pusat jagaan kucing sementara mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, terhadap 30 pertuduhan mengabaikan kebajikan 30 ekor kucing hingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap haiwan itu, tahun lepas.

Shahrul Azuan Adanan, 29, dan Yushairi Khairuddin, 29, yang merupakan orang kena saman, pada Selasa menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret K B Elena Hong Tze Lan.

Pada Disember lepas, mereka mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu.

Bagi 30 pertuduhan itu, Shahrul Azuan dan Yushairi didakwa dengan niat bersama telah mengabaikan kebajikan memberi makanan dan minuman serta tempat penyimpanan dan penjagaan, tanpa sebab munasabah yang menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap kucing-kucing tersebut.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pusat jagaan kucing itu, di Petknode Online Pet Store, No. F001B, Level 1, Plaza Seasons Square Jalan PJU 10/3, Damansara Damai, Selangor, antara 3 hingga 4 Sept 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 28 Jun untuk menjatuhkan hukuman.

Terdahulu peguam Syariful Nizam Shahruddin yang mewakili Shahrul Azuan dan Yushairi menjelaskan kepada mahkamah apa yang berlaku merupakan pengabaian kerana tidak memberikan makanan dan minuman kepada kucing-kucing tersebut, bukan kezaliman.

Elena pula berkata berdasarkan laporan bedah siasat, haiwan itu seolah-olah diabaikan terlalu lama.

Pegawai Pendakwa Jamadi Badri daripada Jabatan Veterinar memberitahu mahkamah kedua-dua orang kena saman itu perlu mengetahui kemampuan mereka untuk mengambil jumlah haiwan peliharaan.

Sementara itu, lebih 30 orang pencinta haiwan peliharaan berpakaian serba merah hitam berkumpul di luar mahkamah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan