Pelarian Myanmar Dipenjara Lapan Tahun Sebabkan Kematian Anak Tiri

Diterbitkan: Isnin, 11 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pelarian warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini Isnin selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan menyebabkan kematian anak tirinya berusia dua tahun, April tahun lepas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memerintahkan Mohd Ali Mohd Yunus, 29, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 13 April tahun lepas.

Dia didakwa menyebabkan kematian Mohamed Haslam Mohamed Osman, warga Myanmar, di Lot 1414, Lorong Permai 29, Ampang Campuran dekat sini antara 10 pagi dan 12.01 tengah hari pada 12 April tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, kanak-kanak malang itu telah dikejarkan ke Hospital Ampang oleh ibunya yang juga warga Myanmar pada 12.01 pagi, 13 April tahun lepas.

Mangsa meninggal dunia selepas cubaan selama 25 minit untuk menyelamatkannya gagal.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami banyak kecederaan luaran di bahagian muka dan lebam di bahagian belakang serta terdapat kesan kecederaan lama di bahagian muka, badan, anggota atas dan bawah serta kemaluan.

Punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala akibat hentakan senjata tumpul.

Mohd Ali, yang merupakan pemegang status kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), sebelum ini didakwa atas tuduhan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun mengaku bersalah selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan iaitu menyebabkan kematian.

Terdahulu, peguam Jagdish Kaur yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap Mohd Ali atas alasan dia tidak pernah bersekolah dan tidak mempunyai sabitan lampau.

Beliau berkata tertuduh, yang pada mulanya berniat untuk mendisiplinkan mangsa, telah bertindak keterlaluan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yong Leou Shin. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Kolumnis

iklan

Iklan