Tiada Kesan Lebam Dan Darah Pada Mulut Dan Badan Baharudin - Saksi

Diterbitkan: Selasa, 5 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang saksi, Isnin, memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa tiada kesan lebam serta darah pada mulut dan badan pemandu teksi, Baharudin Ahmad, yang meninggal dunia ketika perhimpunan haram 9 Julai tahun lepas semasa dia ditemui terbaring di pusat beli-belah Avenue K.

Norizwan Mohamed, 34, seorang kontraktor, turut memaklumkan bahawa Baharudin dilihat terbaring dalam keadaan tersenyum tanpa gigi di bahagian atas.

Norizwan, yang mengakui menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada hari itu, memberitahu mahkamah bahawa ketika tiba di Avenue K, dia terdengar beberapa jeritan meminta tolong berikutan seorang lelaki pengsan.

"Sejurus tiba di tempat kejadian, saya lihat lelaki itu (Baharudin) pengsan, terbaring sambil tersenyum, saya tidak nampak ada kesan gigi patah, tidak ada kesan darah dan dalam masa 45 minit saya kipas dia...

"Saya juga larang orang lain melakukan rawatan pernafasan pemulihan kardiopulmonari (CPR) sebab takut jika teknik tidak betul, walaupun saya sendiri pengakap saya tidak berani, takut berlaku perkara di luar jangkaan... adalah lebih baik menunggu ambulans tiba memberikan bantuan," katanya pada perbicaraan inkues bagi menyiasat kematian Baharudin.

Saksi inkues ke-27 itu, berkata dia turut terkena gas pemedih mata dan semburan meriam air yang dilepaskan oleh anggota polis ketika menyertai perhimpunan di Dataran Maybank dekat sini.

"Ketika mendengar ucapan daripada beberapa pucuk pimpinan Bersih, saya mendengar arahan bersurai yang dikeluarkan pihak berkuasa dan selepas itu polis terus melepaskan tembakan gas pemedih mata dan semburan meriam air dan kemudiannya saya lari untuk menyelamatkan diri," katanya.

Saksi inkues ke-28, peguam N. Surendran berkata beliau memberikan kenyataan kepada pihak media pada 16 Julai tahun lalu berkenaan ketidakpuasan hatinya dengan tindakan polis yang menyatakan bahawa mereka (polis) tidak bersalah dalam insiden kematian Baharudin tanpa melakukan siasatan menyeluruh.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad bagaimana beliau boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian (menuduh polis) kepada media sedangkan beliau tidak berada di tempat kejadian, Surendran, 45, berkata kesemua maklumat mengenai tindakan polis diperoleh daripada saksi-saksi yang ditemuinya selepas perhimpunan itu.

Surendran, yang merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), memberitahu mahkamah bahawa pada hari kejadian beliau berada di KL Sentral bersama beberapa pemimpin PKR lain.

Inkues yang didengar di hadapan Koroner Zulkpli Abdullah bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan