Kakitangan DBKL Didakwa Cederakan Penyelia Dengan Spanar - Berita Mahkamah | mStar

Kakitangan DBKL Didakwa Cederakan Penyelia Dengan Spanar

Diterbitkan: Selasa, 5 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan mencederakan seorang penyelia tapak projek dengan menggunakan sebatang spanar, bulan lepas.

Mohd Safiy Borhan, 26, dari Bandar Tun Razak, Cheras didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Tung Kok Wei, 38, di Jalan 3/124 Taman Connaught, Cheras dekat sini pada 8.30 malam 19 Mei lepas.

Mohd Safiy, yang bekerja sambilan sebagai pemandu teksi, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohd Hanifa menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Mohd Safiy, yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan dia tidak berpendapatan tinggi serta menanggung ibunya yang tidak bekerja.

Hakim S.M. Komathy Suppiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan