Rakyat Malaysia Dipenjara Di Melbourne Kerana Gubah Wang Haram AS$6.2j

Diterbitkan: Selasa, 29 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Seorang rakyat Malaysia pada Selasa dipenjara lima tahun sembilan bulan setelah didapati bersalah melakukan penggubahan wang haram A$6.2 juta dalam tempoh lima bulan di Australia dan menghantarnya ke China, lapor The Age Online.

Wong Lai Yean ditahan di sini November lepas dan pihak berkuasa menemui wang tunai A$63,000, enam telefon bimbit dan resit deposit tunai A$191,000 dalam beg sandangnya.

Mahkamah Daerah di sini diberitahu bahawa pada minggu lepas Polis Persekutuan Australia turut menemui hampir 1,000 kad kredit palsu di rumah lelaki terbabit di pinggir bandar Mitcham.

Pendakwa raya Andrew Sprague berkata, Wong tiba dari Malaysia pada Mac 2011 dan dari Jun hingga November melakukan 34 deposit tunai yang mencurigakan berjumlah A$6,297,187 dengan syarikat-syarikat pertukaran mata wang di Melbourne, Sydney dan Perth.

Sprague berkata, penahanan Wong bersama dua yang lain, yang kemudian dipenjarakan, mendedahkan transaksi kewangan yang disimpan dalam komputernya.

Hakim, Joe Gullaci berkata, mana-mana orang yang datang ke Australia untuk melakukan kesalahan jenayah yang serius adalah "lebih baik bersedia untuk menjalani hukuman penjara".

Beliau mengarahkan Wong menjalani hukuman penjara minimum empat tahun.

Gullaci mendapati Wong telah memainkan peranan penting dalam kesalahan itu yang didorong oleh perasaan tamak.

Wong mengaku bersalah atas sembilan tuduhan, termasuk enam berkaitan dengan harta yang mencurigakan yang disyaki daripada hasil jenayah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan