Lelaki Didakwa Tuduhan Merompak Secara Berkumpulan

Diterbitkan: Khamis, 24 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan merompak secara berkumpulan dengan bersenjatakan parang dan pisau, dua bulan lepas.

V. Rymond, 31, bersama dua lagi yang masih bebas didakwa merompak pasangan suami isteri, Lua Ming Hooi, 41, dan suaminya Tan Chuan How, 46, di rumah nombor 51, Jalan Indah 20/1, Taman Bukit Indah, Nusajaya, pukul 7.45 pagi, 31 Mac lepas.

Tertuduh yang berasal dari Taman Nusa Bestari, Skudai, di sini, didakwa mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu tertuduh turut melarikan kereta Proton Iswara mangsa bernombor pendaftaran JFR 2142, sebuah laptop jenama Samsung, wang tunai RM750 dan S$300, dua telefon bimbit jenis Sony Ericsson dan Nokia, pasport, kunci rumah, kunci kedai serta bateri kereta jenis Amaron.

Di mahkamah yang sama, seorang lagi lelaki turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki harta rompakan iaitu sebuah kereta Proton Iswara. P. Sarovanan, 31, didapati memandu Proton Iswara dengan nombor pendaftaran palsu iaitu WHR 8987 yang merupakan kereta yang disamun di Taman Bukit Indah, di sini, yang merupakan milik Tan.

Sarovanan didakwa melakukan kesalahan terbabit di Bulatan Kepong sehingga jalan mati iaitu di Jalan SG 10/2, Seri Gombak, Selangor, kira-kira pukul 3.45 pagi, 17 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Zamri Bakar mengarahkan Rymond dan Sarovanan masing-masing diikat jamin RM11,000 dan menetapkan 11 Jun depan untuk tarikh sebutan kes Sarovanan manakala 12 Jun depan untuk kes Rymond.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan