Tiga Lelaki Didakwa Culik Nayati

Diterbitkan: Rabu, 23 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tuduhan menculik kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM300,000.

Lee Phak Seng, 19, dan Chang Tat Siong serta Foong Khar Fai, masing-masing berusia 24 tahun, mengangguk memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkod daripada Lee dan Foong yang bekerja sendiri serta Chang, seorang jurujual.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Colek 1961 yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika ia tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan.

Mahkamah menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat bersama menculik Nayati, 12, di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, Brickfields pada 7.30 pagi, 27 April lepas.

Nayati dan keluarganya tidak kelihatan pada prosiding itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh manakala Chang dan Foong diwakili peguam bela Rejinder Singh. Lee tidak diwakili peguam.

Nayati ditemui di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di sini pada pukul 7.55 pagi, 3 Mei lepas setelah dilarikan dua lelaki berhampiran Sekolah Antarabangsa Mont Kiara ketika berjalan ke sekolahnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan