Mahkamah Rayuan Tambah Hukuman Penjara Dan Sebat Ke Atas Dua Lelaki

Diterbitkan: Selasa, 22 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, Isnin, menambah hukuman penjara masing-masing menjadi 35 tahun ke atas dua lelaki kerana kesalahan merompak sepasang suami isteri dan merogol si isteri serta memerintahkan kedua-duanya menerima sebatan maksimum 24 kali.

S. Aramagam, 31, dan Steven Lim Beng Chuan, 22, dilaporkan ketawa dan berjenaka sesama sendiri pada 13 Mei tahun lepas semasa Mahkamah Sesyen Johor Baharu menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan ke atas mereka selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Hari ini, rayuan yang dibuat oleh kedua-dua lelaki tersebut memohon supaya hukuman mereka diringankan didengar di hadapan tiga panel hakim diketuai oleh Hakim Rayuan Datuk Abdul Malik Ishak yang menggunakan Seksyen 60 (2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi menambah hukuman sambil menyifatkan perbuatan kedua-dua mereka sebagai kejam.

Dua hakim lain yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Mohamed Ali.

"Seperti dilaporkan oleh media, kedua-dua perayu ketawa terhadap hukuman kurang yang dikenakan ke atas mereka oleh Mahkamah Sesyen. Kami ingin memberitahu bahawa hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Sesyen itu sepatutnya tidak dipersenda dan ditertawakan," kata Hakim Abdul Malik kepada kedua-dua perayu itu.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan lapan kali sebatan ke atas Aramagam kerana merogol suri rumah yang berusia 27 tahun dan penjara 10 tahun dan sebatan lapan kali di atas kesalahan memaksa wanita itu melakukan seks oral terhadapnya.

Lelaki itu diperintahkan menjalani hukumannya secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2 Mac 2010. Aramagam mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap Mahkamah Tinggi yang menerima rayuan pihak pendakwaan dan menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 25 tahun dan 16 sebatan ke atasnya.

Mahkamah Tinggi telah menambah hukuman penjara ke atas Aramagam kepada 15 tahun kerana merogol dan lapan kali sebatan tetapi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen mengenakan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan lapan kali atas pertuduhan kedua.

Mahkamah Rayuan hari ini menambah hukuman penjara kepada 20 tahun dan 12 sebatan kerana kesalahan merogol dan 15 tahun penjara serta 12 sebatan bagi kesalahan yang satu lagi, kedua-dua hukuman berjalan satu persatu mulai dari tarikh tangkapannya.

Sementara itu, Lim dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana merogol dan lapan tahun penjara dan enam sebatan atas tuduhan merompak suami-isteri berkenaan menggunakan sebilah pisau.

Dia diperintahkan menjalani hukuman serentak mulai dari tarikh tangkapannya pada 2 Mac 2010.

Berikutan rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi untuk hukuman lebih berat dikenakan, tempoh penjara bagi Lim kerana merogol ditambah kepada 18 tahun dan 10 sebatan. Keputusan Mahkamah Sesyen bagi hukuman penjara dan sebatan untuk pertuduhan kedua dikekalkan. Lim kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan menambah hukuman ke atas Lim kepada 20 tahun dan 12 sebatan kerana merogol dan bagi kesalahan merompak hukuman ditambah kepada 15 tahun penjara dan 12 sebatan.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Abdul Malik berkata panel memerintahkan hukuman berjalan satu persatu dan perayu (Lim) dipenjarakan maksimum 35 tahun dari tarikh dia ditangkap dan disebat 24 kali, jumlah maksimum di bawah Kanun Acara Jenayah.

"Kepentingan awam menghendaki supaya hukuman mencegah dikenakan sebagai menggambarkan kemarahan orang ramai terhadap perbuatan yang dilakukan," kata hakim yang menambah bahawa kejadian berlaku antara pukul 6 hingga 7 pagi.

Menurut fakta kes, si suami bangun untuk menunaikan sembahyang apabila terlihat empat lelaki di dalam rumah di Taman Teratai, Kangkar Pulai, Johor Baharu, awal pagi 28 Feb 2010.

Seorang daripada lelaki itu mengacukan pisau terhadap suami manakala yang lainnya memukulnya dengan kayu pemukul golf.

Mereka kemudian mengikat si suami dan bergilir-gilir merogol si isteri di hadapan suaminya dan anak perempuan mereka. Dua orang lagi lelaki tidak mengemukakan rayuan terhadap hukuman ke atas mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan