Sebutan Semula Kes Saksi Didakwa Beri Keterangan Palsu Dalam Kes Sosilawati 22 Jun

Diterbitkan: Khamis, 17 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen, Rabu, menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes pekerja ladang, U.Suresh yang didakwa memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim.

Salwa Asmary memohon agar kes ditangguh ke tarikh lain bagi membolehkan pihaknya memperoleh nota prosiding perbicaraan kes bunuh itu daripada Mahkamah Tinggi.

Pada 30 April lepas, Hakim Datuk Akhtar Tahir memerintahkan bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang iaitu T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Kathavarayan membela diri terhadap tuduhan membunuh Sosilawati, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, pegawai bank Noorhisham Mohamad dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin.

Suresh, 28, dan seorang lagi pekerja ladang, K.Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, kerana kesalahan melupuskan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Pada 10 Ogos tahun lepas, Suresh mengaku tidak bersalah memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan dan Khatavarayan di hadapan Akhtar sedangkan keterangan yang dia berikan kepada pegawai perakam, ASP Ong Seng Keong pada 26 Okt 2010 di Penjara Sungai Udang, Melaka, adalah berbeza.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 9.30 pagi dan 12 tengah hari pada 25 dan 27 Julai 2011 di Mahkamah Tinggi 8 di sini.

Suresh didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh merupakan saksi ke-29 pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh itu yang didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pada 15 Oktober 2010, Suresh dan Sarawanan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 28 tahun selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti dalam pembunuhan itu.

Majistret Hurman Hussain mengarahkan hukuman berjalan serentak, bererti Sarawanan dan Suresh masing-masing akan menjalani hukuman penjara tujuh tahun selepas tarikh mereka ditangkap pada 9 September 2010.

Namun, pada 21 Februari tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohtaruddin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan), dalam melaksanakan kuasanya mengikut Kanun Tatacara Jenayah untuk menyemak keputusan mahkamah rendah, mengurangkan hukuman penjara kepada lima tahun bagi setiap pertuduhan, tetapi memerintahkan hukuman berjalan secara berturut-turut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan