Bekas Pengarah JPJ N. Sembilan Bebas Tuduhan Terima Tiket Penerbangan

Diterbitkan: Rabu, 16 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Bekas pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Mohd Kamal Saad dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini Rabu daripada tuduhan menerima tiket penerbangan dan penginapan daripada sebuah syarikat memandu untuk menghadiri satu mesyuarat di Sabah, dua tahun lalu.

Semasa membuat keputusan itu, Hakim Datin Nusinah Adzmi berkata ia berikutan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Kamal, 58, di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Kamal didakwa menerima tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Kota Kinabalu dan penginapan selama satu hari di Hotel Promenade, Kota Kinabalu daripada Sharifah Norliza Syed Hamid, 45, yang juga pemilik Institut Memandu Empatsempurna (M) Sdn Bhd yang terletak di Lukut, Port Dickson.

Dia didakwa menerima tiket dan tempahan hotel itu tanpa balasan di pejabat JPJ negeri pada 24 Julai 2010 walaupun mengetahui wanita itu ada kena mengena dalam urusan yang dijalankan oleh beliau ketika itu.

Tiket penerbangan berharga RM298 dan penginapan bernilai RM390 diberikan kepada Mohd Kamal bagi menghadiri mesyuarat JPJ bersama institut memandu Negeri Sembilan dari 24 hingga 26 Julai 2010 di Kota Kinabalu.

Bagi pertuduhan itu, Mohd Kamal didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Mohd Kamal ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, dengan keputusan tersebut ia diharap dapat membersihkan namanya dan tanggapan negatif masyarakat terhadapnya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga panel peguam saya kerana khidmat yang mereka berikan dan kepada keluarga serta rakan-rakan yang menyokong saya sehingga saya dilepas dan dibebaskan dari tuduhan ini," katanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fairuz Johari, manakala Mohd Kamal diwakili peguam Faiz Fadzil, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan