Umno Selangor Tidak Terlibat Dalam Serbuan Jais Di Gereja - Hasan Ali

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa Umno Selangor tidak terlibat dalam operasi serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos tahun lepas.

Bekas Exco kerajaan negeri Selangor itu berkata pihaknya juga tidak pernah menerima sebarang maklumat dalaman daripada JAIS mengenai penglibatan Umno Selangor dalam serbuan itu.

Hasan, yang ketika itu memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, turut berkata tidak ada mana-mana anggota Umno yang datang berjumpa beliau selepas serbuan dibuat.

"Sebelum, semasa dan selepas (serbuan) tidak ada orang Umno temui atau hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya tentang operasi (JAIS) itu," katanya semasa menjawab soalan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Umno.

Hasan berkata demikian pada hari pertama perbicaraan kes saman RM10 juta Umno terhadap Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan tiga yang lain berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, yang memfailkan saman itu pada 14 September tahun lepas, menamakan Mustafa; pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd; penyunting akhbar berkenaan Ahmad Lutfi Othman; dan wartawan Harakah, Khairul Azlam Mohamad, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Zin antara lain mendakwa Mustafa, ketika ditemu ramah Khairul Azlam pada 15 Ogos 2011, telah memfitnah Umno berhubung operasi serbuan JAIS di gereja berkenaan dan kenyataan Setiausaha Agung Pas itu diterbitkan dalam sebuah artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti, Umno main peranan operasi Jais' di halaman kedua akhbar Harakah bertarikh 19-21 Ogos 2011.

Kepada soalan Mohd Hafarizam bagaimana beliau mengetahui mengenai serbuan di gereja itu, Hasan berkata beliau mendapat maklumat melalui SMS ketika menghadiri mesyuarat pada keesokan harinya.

"Selepas habis mesyuarat, pegawai JAIS datang ke bilik saya dan saya beritahu mereka ada kebijaksanaan untuk menjalankan tugas dengan profesional, jadi saya nasihatkan mereka supaya jalankan tugas dengan profesional," katanya.

Hasan turut disoal peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Mustafa mengenai kewajaran Setiausaha Agung Pas itu mengadakan sidang akhbar berhubung isu serbuan Jais di gereja berkenaan.

Mohamed Hanipa: Merujuk kenyataan (Mustafa) iaitu 'PAS ingin ahli dan pemimpin PAS tidak terpengaruh dengan perangkap Umno', setuju atau tidak ia lebih kepada satu peringatan kepada ahli PAS.

Hasan: Bagi saya mungkin itu satu reminder (peringatan) tetapi menjurus terus kepada Umno saya rasa saya tidak berapa setuju. Dalam isu ini, saya tidak sangka Mustafa keluarkan kenyataan itu. Kalau saya Setiausaha Agung, saya akan 'clarify' (dapatkan penjelasan) dulu, dapatkan 'confirmation' (pengesahan) daripada pihak berkenaan, bila dah sahih baru saya 'issue statement' (keluarkan kenyataan) kepada media.

Mohamed Hanipa: Sebagai Exco kerajaan negeri (ketika itu) ada atau tidak awak buat sebarang tindakan (berhubung isu serbuan) atau keluarkan kenyataan rasmi.

Hasan: Tidak ada, kerana ketika itu Menteri Besar Selangor telah buat 'gag order' (arahan sekatan)yang melarang anggota Exco buat kenyataan mengenai siasatan JAIS di gereja itu.

Sementara itu, Mohd Zin ketika disoal Mohd Hafarizam berkata penerbitan artikel berkenaan menimbulkan prasangka buruk seolah-olah Umno masih lagi campur tangan dalam urus tadbir agensi penguatkuasaan di bawah kerajaan negeri Selangor walaupun telah kehilangan kuasa pemerintahan di negeri itu selepas pilihan raya umum ke-12.

Ketika disoal balas Mohamed Hanipa, beliau bersetuju bahawa beberapa perenggan dalam artikel berkenaan tidak menyebut perkataan 'Umno Selangor' dan sebaliknya hanya menyebut Umno.

"Kenapa Umno Malaysia tidak ambil tindakan (terhadap defendan) tetapi Umno Selangor yang ambil tindakan sedangkan nama Umno Selangor tidak disebut di dalam artikel berkenaan," soal Mohamed Hanipa.

"Saya tidak tahu kenapa Umno Malaysia tidak ambil tindakan tetapi saya tahu Umno Selangor yang ambil tindakan kerana saya rasa saya ada locus standi," kata Mohd Zin.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Mohamed Hanipa bahawa kenyataan dikeluarkan Mustafa adalah lebih kepada memberi peringatan kepada pemimpin dan anggota PAS supaya berhati-hati dengan isu serbuan di gereja berkenaan agar tidak terperangkap dengan permainan Umno.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Zaki Husin bersambung, Jumaat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan