Remaja Lelaki Bunuh Bapa Didakwa

Diterbitkan: Khamis, 10 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Khamis, terhadap tuduhan membunuh bapanya minggu lepas.

Remaja bawah umur itu dituduh membunuh bapanya yang berusia 40 tahun, di rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai antara pukul 11.30 malam, 30 April dan 12.30 malam, 1 Mei lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof di dalam kamar Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Peguam tertuduh K.Nahtan yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pihaknya telah memohon kepada mahkamah untuk merujuk remaja itu ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu itu tiba pada kira-kira 9.30 pagi di mahkamah tanpa ditemani anggota keluarganya.

Selepas pendakwaan dilakukan, remaja itu kelihatan bersahaja ketika jurugambar berpusu-pusu merakam gambarnya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang merupakan peniaga kayu ditemui mati dalam bilik tidurnya dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam dengan pisau di bahagian perutnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan