Tipu 12 Pelabur: Dua Pengarah Syarikat & Pembantu Didenda RM20,000

Diterbitkan: Rabu, 9 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua pengarah Syarikat Premier Agro Sdn Bhd dan pembantu mereka masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku menipu 12 individu berhubung pelaburan projek ternakan ikan patin sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM300,000.

Hakim Mohd Fadhir Harun turut memerintahkan Johar Arifin Baki, 46, S.Suresh Kumar, 31, dan Fauzi Rizal Baki, 34, dipenjara setahun jika gagal membayar denda.

Mereka didakwa menipu semua mangsa di premis Syarikat Premier Agro di Jalan Kasuarina 7, Botanic Capital, Bandar Ambang Botanic, Klang dekat sini antara 15 Mei 2009 dan 3 Julai 2010 mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, semua mangsa ditawarkan Skim 'Farming Fish Fry in Cages' yang menjanjikan pulangan kepada pelaburan itu sehingga mendorong 12 pelabur berkenaan memasukkan wang ke akaun Syarikat Premier Reliance (M) Sdn Bhd untuk faedah Syarikat Premier Agro.

Fakta kes yang dibentangkan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Shari'ah Abu menunjukkan modus operandi bagi skim itu termasuk menghubungi pelabur melalui telefon secara rawak dan kemudian meminta mereka hadir ke premis syarikat berkenaan untuk diberi penerangan.

Fakta kes juga menyatakan skim itu merupakan pelaburan penternakan ikan patin yang melibatkan jumlah sebanyak RM37,370 untuk tempoh tiga tahun ditambah dua tahun untuk pembaharuan, dan pelabur akan dibekalkan dengan satu sangkar ikan serta 1,200 benih ikan apabila membuat bayaran.

Seramai 12 pelabur kemudian membayar wang ke akaun syarikat Premier Reliance namun tidak menerima pulangan seperti dijanjikan.

Terdahulu, dalam rayuan, peguam Adi Hazlan Mawardi yang mewakili Johar Arifin berkata anak guamnya ialah seorang pengurus di Malaysia Airport Berhad (MAB) dan tidak mempunyai pengetahuan yang luas tentang pengendalian sebuah syarikat serta tidak berniat untuk menipu mana-mana pihak.

Peguam Adi Harman Mawardi, yang mewakili Fauzi Rizal, turut memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap pelanggannya kerana tertuduh seorang jurujual di sebuah syarikat swasta dan merupakan pesalah pertama selain telah insaf.

Peguam Renuka Krishnasamy yang mewakili Suresh Kumar pula berkata anak guamnya hanya seorang kerani dan tidak mempunyai pengalaman ketika melibatkan diri dalam perniagaan berisiko tinggi.

Sementara itu, Shari'ah meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh dengan mengambil kira kerugian besar yang dialami mangsa.

"Kesalahan yang dilakukan ketiga-tiga tertuduh serius, dan pohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM20,000," katanya yang dibantu Nur Atiqah Mohd Yamin.

Di mahkamah sama, Auni Zafirah Abdul Rahim, 26, dan suaminya, Zafir Keith Wong, 40, turut berdepan pertuduhan serupa.

Bagaimanapun, mereka tidak mengaku bersalah.

Hakim Mohd Fadhir membenarkan pasangan suami isteri itu masing-masing diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun untuk sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan kedua-dua tertuduh, yang diwakili peguam Fitzgerald Augustin, menyerahkan dokumen perjalanan masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan