Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Habeas Corpus Kolumnis Arab Saudi

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kolumnis akhbar Arab Saudi, Hamzah Kashgari Mohamad Najeeb, yang mencabar kesahihan penahanan dan penghantarannya dari Malaysia, gagal dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk menghidupkan semula permohonan habeas corpusnya.

Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara menolak permohonannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Feb lepas yang menolak permohonan habeas corpus itu.

Dalam permohonannya, Hamza Kashgari, 23, secara alternatif menuntut satu deklarasi bahawa penahanan dan penghantarannya pulang adalah menyalahi undang-undang.

Selain Malanjum, panel itu terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Datuk Suiyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Hamza Kashgari, yang dikhendaki oleh pihak berkuasa Arab Saudi kerana mendakwa telah menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW, berdepan dengan hukuman mati di negaranya sekiranya disabitkan atas kesalahan itu. Kolumnis itu ditangkap pada 9 Feb lalu di Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mana pada ketika itu dia dijadual dalam perjalanan ke Auckland, New Zealand.

Dia dihantar pulang pada 12 Feb lalu dengan menaiki sebuah pesawat khas atas permintaan kerajaan Arab Saudi.

Pada hari berikutnya, peguam Murnie Hidayah Anuar dan Mohd Afiq Mohamad Noor memfailkan permohonan habeas corpus bagi pihak Hamza Kashgari dengan menamakan Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pada 22 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal pihak responden untuk menolak permohonan Hamza Kashgari atas alasan isu habeas corpus telah menjadi akademik kerana dia tidak lagi berada di negara ini.

Dia kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Hamza Kashgari, yang menulis untuk akhbar 'Al Bilad' yang berpangkalan di Jeddah, dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam pada sambutan Maulidur Rasul melalui twitternya menyebabkan kemarahan rakyat Arab Saudi. Pada prosiding mahkamah hari ini, panel hakim mendengar hujahan dari peguam perayu, Amer Hamzah Arshad dan pihak responden diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Amir Nasaruddin.

Amer Hamzah berhujah walaupun Hamza Kashgari telah dihantar pulang ke negara asalnya, namum wujud isu untuk mahkamah memutuskan.

Katanya Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mendengar kes itu dan memutuskan sama ada penahanan dan penghantarannya adalah sah atau sebaliknya dan kemudian mengarahkan pampasan kerana menafikan hak asasi kolumnis itu.

Dalam pada itu Amir berhujah undang-undang menyatakan hanya remedi yang ada untuk seseorang yang memfailkan permohonan habeas corpus hanya untuk mendapatkan pelepasan dan pemohon tidak boleh menuntut relif yang lain.

Di luar mahkamah, Mohd Afiq memberitahu pemberita bahawa Hamza Kashgari masih dalam tahanan di Arab Saudi dan dia belum lagi didakwa.

Katanya beliau akan mendapatkan arahan susulan daripada keluarga Hamza Kashgari sama ada memfailkan saman sivil untuk mendapatkan deklarasi bahawa tahanan dan penghantaran anak guamnya itu adalah tak sah dan menuntut pampasan. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan