Rayuan Kerajaan Kelantan Ditolak, Kes Kekal Didengar Secara Isu Perundangan

Diterbitkan: Sabtu, 28 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan, pada Khamis, menolak permohonan kerajaan Kelantan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes saman perlanggaran kontrak terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang perlu didengar dan diselesaikan mengikut isu perundangan.

Mahkamah itu turut menolak permohonan kerajaan negeri untuk dibekalkan dokumen-dokumen kes berikutan keputusan Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memerintahkan pihak-pihak berkenaan terlebih dahulu meneruskan mengikut Perintah 14A Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

Dengan keputusan Mahkamah Rayuan ini, perkara itu akan didengar di hadapan Zabariah tanpa memanggil mana-mana saksi dengan pengurusan kes ditetapkan pada 30 April.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim, diketuai Hakim Datuk Ramly Ali, yang mendapati Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya yang membenarkan Petronas dan Kerajaan Persekutuan memutuskan saman itu ditentukan secara isu perundangan.

Dua lagi hakim ialah Datuk Lim Yee Lan dan Datuk Clement Allan Skinner. Hakim Ramly berkata tiada alasan untuk mahkamah itu campurtangan.

Namun, beliau membenarkan permohonan peguam Kerajaan Kelantan Tommy Thomas untuk menangguhkan prosiding ditetapkan pada 30 April di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sementara menunggu rayuan keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, Thomas mengemukakan hujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam undang-undang apabila menolak permohonan kerajaan negeri untuk perbicaraan penuh dan dibekalkan dokumen-dokumen berkaitan.

Beliau berhujah bahawa terdapat isu fakta penting dan perundangan untuk dibicarakan antara pihak-pihak dan penyelesaian melalui isu-isu perundangan adalah satu kaedah tidak adil bagi menentukan pertikaian besar itu.

Thomas berkata tanpa perbicaraan penuh, ia sangat prejudis terhadap Kerajaan Kelantan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili Petronas, berhujah bahawa Zabariah bertindak mengikut prinsip dan kes sebelum ini dalam memutuskan tindakan mengikut Perintah 14A.

Beliau berhujah sama Petronas bertanggungjawab untuk membayar tunai kepada Kelantan di bawah Akta Pembangunan Petrolum 1974 adalah soal perundangan.

Beliau berkata amalan pentafsiran kontrak dan statutori oleh undang-undang tidak boleh dibantu dengan keterangan saksi-saksi.

"Selagi isu utama diselesaikan dengan penentuan perkara-perkara induk, prosedur itu akan memberi manfaat dengan perbicaraan dapat segera dilakukan pada kos yang rendah," hujah Abraham.

Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi, yang mewakili kerajaan, menyokong hujah Abraham dan memohon mahkamah menolak rayuan itu.

Dalam saman yang dikemukakan pada 30 Ogos 2010, pihak plaintif menamakan Petronas sebagai defendan pertama.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan berjaya dalam permohonannya untuk mencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua dalam tuntutan saman tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan Kelantan menuntut Petronas supaya membuat pembayaran tunggakan dan bayaran tunai seterusnya bagi petroleum dihasilkan di luar pantai Kelantan seperti ditetapkan dalam perjanjian petroleum.

Kerajaan negeri itu juga menuntut ganti rugi dan kos. Bagaimanapun ia tidak menetapkan jumlah keseluruhan yang dituntut daripada Petronas.

Dalam tuntutan, kerajaan negeri menyatakan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan dimeterai pada 9 Mei 1975, jelas menyebut bahawa Petronas perlu membayar tunai lima peratus daripada hasil minyak sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau luar pantai.

Ia menyatakan satu perenggan daripada perjanjian itu menyebut bahawa pembayaran hendaklah dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau sebelum 1 Mac atau pada atau sebelum 1 September. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan