Bekas Pegawai Akaun KFA Seleweng Gaji Pemain Dipenjara

Diterbitkan: Isnin, 23 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang bekas pegawai akaun Persatuan Bolasepak Negeri Kedah (KFA) dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM19,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan pilihan membabitkan penipuan wang berjumlah RM76,026 lima tahun lepas.

Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Izhan Abdullah Sani, 45, selepas tertuduh mengaku bersalah di mahkamah ini semalam dan meneliti keterangan pihak pendakwaan serta pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Izhan dituduh memalsukan baucar bayaran gaji dan elaun 14 pemain Liga Super Kedah Musim 2006-2007, bagi bulan Julai dan Ogos 2007 yang dilampirkan bersama sekeping cek dan penyata kredit gaji bagi dua bulan itu, di pejabat KFA di sini.

Setelah dokumen itu ditandatangani oleh KFA, dia kemudiannya menyediakan penyata kredit gaji yang lain dengan memasukkan namanya sebagai salah seorang pemain sebelum menghantarnya ke bank dan dia menerima gaji berjumlah RM5,817 bagi bulan Julai dan Ogos 2007.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa sengaja membuat bayaran gaji sekali lagi bagi tiga pemain import berjumlah RM64,392 bagi September 2007 sedangkan gaji mereka bagi bulan itu telah dibayar lebih awal.

Setelah baucar bayaran gaji tiga pemain import itu ditandatangani KFA, Izhan kemudiannya sekali lagi menyediakan penyata kredit gaji yang lain dan memasukkan namanya sebagai pemain bola sepak Liga Super Kedah dengan niat untuk memperoleh wang RM64,392 itu.

Izhan yang kini bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah institusi pengajian tinggi awam di negeri ini, dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau keduanya sekali.

Bagi pertuduhan pertama Izhan dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM7,000 atau enam bulan penjara, bagi pertuduhan kedua; penjara sehari dan denda RM7,000 atau enam bulan penjara, manakala bagi pertuduhan ketiga; penjara sehari dan denda RM5,000 atu tiga bulan penjara. Hukuman penjara berjalan serentak.

Mengikut fakta kes, Izhan telah membuat pengurangan gaji bersih pegawai dan pemain iaitu Victor Andrag dikurangkan RM500, Mohd Redzuan Nawi (RM417), Hasmawi Hassan (RM300), Mohd Khyril Muhymeen (RM200), Rafiz Abu Bakr (RM400), Ahmad Fauzi Shaari (RM400), Jamsari Sabian (RM300), Mohd Nafuzi Mohamad Zin (RM300), V.Thirumugan (RM300), Saramsak Kram (RM200), Roshadi Wahab (RM300), R.Lechumanan (RM200), Marlon Alex James (RM1,000) dan Cornelius Bernard Huggins (RM1,000).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fieza Fazlin Fandi, manakala Izhan diwakili peguam Sharif Matt. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan