Ahli Perniagaan Dipenjara Tiga Tahun, Dua Sebatan Tipu Dua Lelaki

Diterbitkan: Jumaat, 20 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan pada Jumaat dihukum penjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan menipu dua lelaki, lapan tahun lepas.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi C.Yoganandha Moorthy, 38, di akhir kes pembelaan.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Yoganandha didakwa menipu Atan Wan Ismail, 62, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia telah menjelaskan bayaran penuh sewa beli kereta di dalam akaun di Asia Commercial Finance(M)Berhad, sekarang dikenali sebagai Affin-ACF Finance dengan menggunakan sekeping cek bernilai RM26,000, yang mana dia tahu bahawa akaun cek itu telah ditutup sebelum pengeluaran cek dibuat.

Perbuatan itu mendorong Atan menyerahkan sebuah kereta Proton Waja kepadanya di Stesen Minyak Shell Greenwood, Sentul di sini pada 3 petang, 29 November 2004.

Bagi pertuduhan kedua, Yoganandha dituduh menipu pembekal kereta terpakai, Siow Thiam Huat, 54, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa nilai yang masih terhutang kepada Affin-ACF Finance untuk kereta Proton Waja yang diserahkan oleh Atan adalah RM14,915.55, yang mana dia (Yoganandha) tahu ia adalah tidak benar.

Perbuatan itu mendorong Siow menyerahkan dua keping cek, masing-masing bernilai RM24,084.45 dan RM3,000 sebagai bayaran perbezaan di antara baki harga kereta itu yang masih terhutang kepada Affin-ACF Finance serta bayaran komisyen kepada Yoganandha.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada tarikh yang sama di Cirlular Auto Enterprise, Jalan Ampang di sini pada 1.30 tengah hari.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebat.

Terdahulu, peguam Azad Bashir yang mewakili Yoganandha memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, mahkamah menolak penangguhan pelaksanaan hukuman itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Noor Aishah KM Abu Bakar membantah permohonan tersebut dengan alasan tertuduh pernah menghilangkan diri ketika dia dituduh di mahkamah pada 2005 dan terpaksa dituduh kembali pada 2009.

Seramai lapan saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan.

Pada 10 April lepas, C.Yoganandha dilepas dan dibebaskan bersama rakannya, Mercy Sumathi Christie, 43, tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini terhadap 12 pertuduhan menipu membabitkan RM143,890 pada 2008.

-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan