Bekas Pemandu Teksi Lepas, Bebas Tuduhan Cuba Bunuh Dan Rompak

Diterbitkan: Rabu, 18 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemandu teksi mampu menarik nafas lega apabila sekali lagi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini daripada pertuduhan cuba membunuh seorang penyelia dan merompak sebuah kereta Perodua Kancil milik seorang setiausaha, tujuh tahun lepas.

Hakim Manira Mohd Noor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mokhtar Mohd Zin di akhir kes pendakwaan.

Manira ketika membuat keputusan itu berkata terdapat kecacatan dalam pengecaman identiti yang dilakukan oleh mangsa dalam kes itu dan wujud percanggahan identiti berdasarkan keterangan beberapa saksi pendakwaan.

"Isu penting iaitu "identiti" penembak dalam kes ini tidak dapat dibuktikan melalui pengecaman yang dibuat pada 29 Mac 2005 dalam kawad cam kerana gambar tertuduh telah disiarkan melalui media elektronik dan surat khabar pada 22, 23 dan 24 Mac 2005," katanya.

Manira berkata ini jelas menunjukkan pengecaman yang dibuat bukan berdasarkan lakaran wajah oleh mangsa sebaliknya pengecaman itu dibuat berdasarkan gambar tertuduh yang dikeluarkan dalam media berkenaan.

Katanya, walaupun pihak pendakwaan menghujahkan bahawa penyebaran gambar tertuduh didapati daripada telefon bimbit tertuduh yang dijumpai di tempat kejadian, namun mahkamah mendapati keterangan itu tidak dapat dibuktikan kerana telefon bimbit tersebut tidak pernah dikemukakan kepada mahkamah.

Mokhtar, 50, yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan didakwa cuba membunuh Ong Wooi Chong, 41, dengan melepaskan tembakan hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa di kawasan pintu pagar tempat letak kereta Pasaraya Giant Batu Caves, Gombak pada kira-kira pukul 2 petang pada 19 Mac 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada enam orang anak itu turut dituduh merompak kereta Perodua Kancil milik Nor Haslinda Abd Hamid, 32, yang anggaran kerugiannya RM25,000, dengan mengacukan sepucuk pistol kepada wanita itu itu di kawasan tempat letak kereta, rumah pangsa Jalan SBC12, Taman Sri Batu Caves pada masa dan hari yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni telah mengemukakan seramai 13 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula pada 11 April 2011 sementara Mokhtar diwakili peguam Datuk Mohd Hakimi Abdul Kadir dan Surjan Singh.

Sementara itu, Mokhtar ketika ditemui pemberita selepas prosiding meluahkan rasa syukur kepada Allah S.W.T dan kepada kedua-dua peguamnya kerana dia dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu.

"Saya ingin pulang ke rumah untuk berjumpa keluarga termasuk isteri dan anak-anak kerana hampir tujuh tahun saya tidak dapat meluangkan masa dengan mereka," katanya.

Pada 30 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Mokhtar daripada tuduhan membunuh seorang setiausaha, Siti Shamiza Abu Zarim, yang ditembak mati dalam satu rompakan di Pasar Raya Giant Batu Caves, Gombak, tujuh tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan