Dua Anggota Polis Hadapi Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Selasa, 17 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Selasa terhadap pertuduhan berasingan meminta dan menerima rasuah.

Sarjan Ahmad Fadli Adnan, 42, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Kangar menghadapi tiga pertuduhan manakala Koperal (detektif) Syed Zaini Syed Hassan, 45, yang bertugas di cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menghadapi dua pertuduhan.

Ahmad Fadli dituduh meminta suapan RM3,000 daripada Mohd Syarifuddin Abdul Aziz bagi menutup kes lelaki itu yang dikatakan melanggar pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada 25 Nov 2011, antara pukul 10.30 pagi dan 11.45 pagi di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar.

Dia juga dituduh meminta suapan RM3,500 daripada Mohd Syarifuddin melalui panggilan telefon pada kira-kira 12.53 tengah hari pada hari yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Fadli dituduh menerima suapan RM3,500 daripada Mohd Syarifuddin pada kira-kira 4.40 petang pada 27 Nov, 2011 di Restoran Mira Bersaudara, Taman Sena.

Sementara itu, Syed Zaini dituduh menerima suapan RM2,000 daripada Boonchu a/l E Bau pada kira-kira 12.30 pagi, 15 April 2011 di parkir lori di hadapan Restoran Yasmeen, Changlun sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lelaki itu berhubung kes judi haram.

Anggota polis itu juga dituduh menerima suapan RM4,000 daripada lelaki yang sama pada kira-kira 7.27 malam, 20 April 2011 di dalam sebuah kereta berhampiran warung Ratna Sari, Padang Behor.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan atau mana yang lebih tinggi.

Majistret Zuhair Rosli mengarahkan kedua-dua tertuduh, masing-masing dikenakan ikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 22 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fieza Fazlin Fandi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan