Pemandu Bebas Tuduhan Perdagang Dua Wanita Indonesia

Diterbitkan: Sabtu, 14 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu peribadi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat daripada dua tuduhan memperdagangkan dua wanita warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi seks, tahun lepas.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lim Kar Choy, 49, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, katanya, tiada keterangan mengaitkan tertuduh dengan pertuduhan itu serta tiada bukti menunjukkan Lim memegang atau menyimpan pasport mangsa.

Lim didakwa memperdagangkan Delima, 22, dan Nia Deniata, 18, bagi maksud ekploitasi seks di hadapan Restoran Mook Thai Food No. 15, Jalan Alor, di sini, 6 September 2011.

Lim didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ain Nur Amiyerra Awod Abdullah manakala Lim diwakili peguam Indran Kumaguru. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan